Dengan
hikmah dan cinta-Nya, Allah dengan sebaik-baik ciptaan ingin menjadikan manusia
sebagai khalifah di atas muka bumi. Allah berfirman kepada para malaikat, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman
kepada malaikat, 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’.”
(Al-Baqarah 2:30)
Namun
justeru para malaikat tidak diberi ilmu oleh Allah dalam memahami rahsia serta
hikmah ciptaan itu, maka mereka bertanya, “Mereka
bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), ‘Adakah Engkau
(Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana
dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih
dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’.” (Al-Baqarah 2:30)
Maka
Allah Azza wa Jalla menjawab, “Tuhan
berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya’.”
(Al-Baqarah 2:30)
Allah
dengan Maha Bijak memberi satu ujian kepada para malaikat sebagai bukti bahawa
makhluk baharu itu sangat istimewa dan berbeza dengan ciptaan yang lain. Dengan
itu Allah mengajar manusia itu nama-nama semua makhluk yang ada. Kemudian Allah
yang Maha Bijaksana memerintahkan agar malaikat menyebut nama-nama yang
diberitahu kepada manusia itu.
“Dan Allah telah mengajarkan Nabi
Adam, akan segala nama benda-benda (nama makhluk) dan gunanya, kemudian ditunjukkannya
kepada malaikat lalu Dia berfirman, ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda
ini semuanya jika kamu golongan yang benar’.” (Al-Baqarah 2:31)
Sebaik
memahami hakikat ciptaan itu, maka para malaikat mengakui kelemahan mereka.
Justeru keagungan Allah diperakui oleh mereka dengan berkata, “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak
mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Baqarah 2:32)
Seterusnya
Allah perintahkan Nabi Adam dengan firman-Nya, “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda (makhluk-makhluk) ini semua
kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada
mereka, Allah berfirman, “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya
Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu
nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.”(Al-Baqarah 2:33)
Sebagai
ciptaan terbaik dan termulia, Allah memerintahkan agar semua malaikat sujud
(memberi hormat) kepada Nabi Adam, “Dan
(ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, ‘Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam’. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan
Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Al-Baqarah
2:34)
Nyata
bahawa semua malaikat yang menghuni langit tunduk akan titah perintah Allah,
kecuali makhluk bernama Iblis. Dia enggan tunduk kepada manusia kerana rasa
dengki dan sarat perasaan tinggi diri. Pada waktu itu, Iblis belum lagi mengisytiharkan
perang terhadap Nabi Adam dan keturunan manusia yang akan datang kelak.
Maksudnya senjata belum diangkat oleh Iblis dalam memerangi manusia.
Lalu
Allah bertitah, “Apakah penghalangnya
yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?” (Al-A’raf 7:12)
Dengan
takbur dan angkuh, si Iblis menjawab, “Aku
lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api sedang dia
Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’raf 7:12)
Apakah
si Iblis itu tidak mengetahui kekuatan dan keagungan Allah Taala? Pastinya dia
mengetahui secara jelas. Namun oleh kerana sikap meninggi diri dan berasa diri
terlebih baik, maka dia engkar. Dia mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang
menciptanya dan mencipta Nabi Adam, serta mengakui di dalam kuasa-Nya terletak
kuasa Maha Tinggi untuk menghidup dan mematikan. Ia sangat jelas sebagai mana
permintaan Iblis.
Si
Iblis meminta kepada Allah dengan berkata, “Iblis
berkata, ‘Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)’.”
(Al-A’raf 7:14)
Lalu
Allah menjawab, “Sesungguhnya engkau dari
golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).” (Al-A’raf 7:15)
Dari
ayat di atas, salah satu kesimpulan yang dapat difahami ialah pemberian tangguh
kematian itu bukan seperti yang diminta oleh si Iblis. Yakni bukan sehingga
hari kebangkitan semula, malahan hanya sehingga ‘waktu tertentu’ (hari kiamat).
Mengapa Allah sangat murka terhadap Iblis? Harus dimengerti salah satu nama-nama Agung Allah ialah Al-Mutakabbir. Ia membawa makna, antara lain, takabbur (takbur) dan kibriya’, yakni pemberitahuan tentang hak Allah SWT bagi sifat-sifat agung dan maha sempurna. Kerana sikap Iblis yang tidak mahu tunduk itu dan memberi alasan dia lebih baik daripada Nabi Adam, maka tiada tindakan lain selain firman Allah:
“Turunlah engkau dari syurga ini,
kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu
keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” (Al-A’raf 7:13)
** WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment