“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa
bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di
akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian
itulah kejayaan yang besar.”
(Surah Yunus 10: 62-64)
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (berjihad)
kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan);
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang
yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah Al-Ankabut 29: 69)
Sungguh,
pada beberapa ketika dalam hidup, kita didatangi oleh orang-orang yang tidak
dikenali. Ia sama ada untuk urusan tertentu atau untuk meminta atau menjual
barang-barang. Saya tidak terkecuali. Rumah ada kalanya menerima tetamu yang
entah dari mana. Bukan ia tidak diundang, bahkan kedatangan mereka sudah
ditentukan Allah Taala. Hikmahnya? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha
Halus Perhitungannya.
Sungguh,
saya percaya tetamu yang tiba ke rumah, walaupun terlihat persis ‘kita yang
membeli barang’, tapi yakinlah mereka membawa rezeki. Ya... rezeki itu bukan
sekadar dalam bentuk wang ringgit.
Banyak
kali orang menjual buku-buku datang ke rumah. Saya yakin mereka bukan orang
senang. Andai orang senang atau banyak duit, takkan menjaja buku dari rumah ke
rumah. Dan selalunya saya akan membelinya, walaupun sebuah. Antara hikmah yang
saya nampak ialah buku-buku itu akan saya gunakan untuk penulisan, paling
tidakpun.
Seumpama
kisah-kisah berikut. Ia adaptasi kisah Wali-wali Allah yang diubahsuai oleh
saya dari beberapa buah buku yang dijual oleh si penjaja yang tidak dikenali.
Masya-Allah. Tabarakallah.
Semoga
perkongsian kisah ini turut memberi inspirasi kepada kau orang, sebagaimana ia
membuat air mata ini mahu menitis ketika membacanya.
Mohon
perhatikan ayat-ayat al-Quran di atas, dan kata kunci yang bergaris (Wali
Allah), insya-Allah.
**********
Ketika
Syeikh Syamsuddin berada di Makkah untuk menziarahi Kaabah, dia melihat seorang
lumpuh sedang merangkak di sebatang jalan. Orang itu terlihat begitu teruja dan
bersungguh-sungguh untuk tiba ke Masjidil Haram.
“Wahai
hamba Allah yang mulia, dari mana tuan datang?” Syeikh Syamsuddin bertanya
mesra.
“Dari
Samarkand,” jawab orang itu ringkas.
“Samarkand?
Alangkah jauhnya!” Hairan menerjah lubuk hatinya kerana fikirkan betapa jauh
jarak di antara Makkah dan Samarkand yang terletak di Uzbekistan. Tambahan pula
Uzbekistan adalah sebuah negara yang bergunung-ganang, beribu-ribu batu dari
Makkah.
Ya Allah! Kagumnya aku dengan hamba-Mu
yang ini. Begitu sanggup dia berjalan ke kaabah-Mu. Ya Rabb! Sedang aku,
hamba-Mu yang banyak menerima nikmat-Mu. Monolog hatinya penuh syahdu.
Keazaman
dan kepayahan... itulah yang dia bayangkan apabila melihat keadaan fizikal
orang Samarkand itu. Tubuhnya menerima anugerah Allah berupa kecatatan.
“Berapa
lama tuan dalam perjalanan ke sini?” Ada titis air mata bergenang di kelopak
mata di akhir pertanyaan.
Selain
menghitung lamanya masa yang dilalui untuk kembara jihad itu, orang itu turut
bercerita akan silih bergantinya musim. Dia lalui dengan sabar amat tinggi.
Namun kembaranya mudah, katanya.
“Selama
sepuluh tahun.”
Syeikh
Syamsuddin termanggu-manggu takjub. Lalu dia memeluk lelaki itu erat sekali,
bersama tangisan menghiba.
“Wahai,
Syeikh Syamsuddin, mengapa tuan menangis?”
“Saya
hairan dengan keadaanmu, sahabat yang mulia. Walau begitu, tuan masih cekal
untuk ke mari.”
Jawapan
berikut membuat Syeikh Syamsuddin menangis teresak-esak.
“Wahai
Syeikh Syamsuddin. Jauhnya perjalananku ini menjadi dekat lantaran perasaan
rindu kepada Allah. Tubuh saya ini, tuan... hanya Allah yang gerakkannya agar
cekal menerima seadanya. Adakah tuan hairan dengan hamba Allah yang lemah ini
yang dibawa oleh Tuhan Yang Maha Belas Kasihan?”
Hanya
tangisan menjadi jawapan kepada pertanyaan orang itu. Lalu lelaki itu bermadah:
“Aku menziarahi-Mu kerana rindu, walaupun payah dalam jerih perjalanan ini. Rindu menjadikan aku bahagia seorang yang tak punya apa-apa. Tak dinamakan cinta bagi mereka yang takut menanggung risiko dan tak tahan menempuh kembara yang jauh.
“Dosa itu lebih kelam dan hitam dari lorong gelap. Lalu hanya cahaya Allah yang dapat membersihkannya. Usah terus dibelenggu setanggi syaitan.
“Andai dihitung amalku belum tentu dapat menghampiri gerbang syurga-Mu. Sudikah Kau menerima hamba-Mu ini?”
Maka rebahlah Syeikh Syamsuddin di pangkuan orang cacat itu, di hadapan rumah Allah yang mulia.
* Kisah-kisah ini saya masukkan ke dalam
manuskrip HIJAB KEMBARA (Kritik-Puisi-Certot-Cerpen) yang masih ditekuni.
** Foto grafik: Novel PERANG ARMAGEDON, yang turut mengandungi kisah di Mageddo.
** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment