Mageddo
adalah nama sebuah lembah di Palestin - yang dijarah Zionis-Yahudi - yang
diramalkan tercetusnya Perang Armagedon oleh sebuah konspirasi tahap tertinggi.
Ia terbentang dari Mageddo sehingga ke utara, kemudian sehingga ke Edom di
selatan, seterusnya sampai ke Laut Putih di barat dan Bukit Mohab di timur.
Dijangkakan oleh pakar strategi perang, sekiranya panglima perang dapat
menguasai wilayah ini, maka batalion itu dapat mematahkan setiap serangan.
Dalam
pada itu, ada sisi lain yang turut terlibat... terhijab bagi yang tak mahu buka
mata hati. Dunia sejajar berdimensi lain, yang turut bersengketa dan cuba untuk
mencari penyelesaian, kononnya, untuk jagat manusia.
Dunia
akhir zaman yang panas, kering, kontang iman... dan kontang dalam rupabentuk
muka datarannya. Manusia dan makhluk yang fana saling cuba untuk mengungguli
satu sama lain. Namun hukum Tuhan Yang Maha Esa siapa dapat atasinya?
**********
Budak
botak itu memandang Erkin. Bagaikan ada pertautan naluri antara mereka berdua.
Atau memangnya ada rasa itu? Alih-alih kedua-duanya melangkah lambat-lambat ke
satu sama lain. Kemudian dalam masa yang tidak dihitung, dari posisi di dataran
mereka berlari dengan kedua-dua tangan mendepa.
Mereka
berlanggar secara berdepan. Dada melanggar dada. Peliknya bukan sakit yang
terpamer, malahan ketawa keriangan. Diikuti tubuh kedua-duanya jatuh berguling
ke hamparan rumput hijau yang tiba-tiba muncul, dan mereka ketawa.
Feiyan
tersenyum senang, kemudian ketawa riang. Dia turut merasai tautan antara
adiknya dan budak lelaki botak itu.
Usai
ketawa, Erkin dan budak botak bangun hampir serentak dan saling berpelukan.
Masing-masing menepuk belakang. Sebaik usai, budak botak itu memandang ke arah Mahesa
Pamalayu, lalu berlari.
Budak
botak itu tiba di posisi Mahesa Pamalayu agak terlajak lantaran lajunya larian.
Dia terseret kaki beberapa ela dari posisi Mahesa Pamalayu. Namun dalam masa
beberapa saat sahaja, budak botak itu memeluk Mahesa Pamalayu dan cuba
menyentuh muka lelaki dewasa itu.
Mahesa
Pamalayu merendahkan badannya dan melutut. Budak botak itu melagakan pipinya ke
pipi Mahesa Pamalayu silih berganti kanan dan kiri. Mahesa Pamalayu terkesima
dalam rasa yang cukup indah. Aura cinta dan kasih sayang. Aura kehidupan
menjalar.
Pertemuan
di dataran padang pasir besar itu membuah benih-benih cinta sesama makhluk.
Kemudian budak botak itu berkata, “Jom ikut aku.” Budak botak itu segera
berlari mendaki bukit pasir.
Tiada
sebarang kata terluah dari ketiga-tiga orang yang turut berlari mengikuti
larian budak botak itu. Mereka merentasi padang pasir. Sebaik tiba di atas
bukit pasir, mereka melihat pemandangan yang menakjubkan.
Di
bawahnya, terbentang lembah besar yang subur dengan warna kehijauan. Mahesa
Pamalayu terkesima kali kedua, dan kali ini mulutnya terlopong.
“Lihat
itu!” Feiyan berkata sambil menunjuk ke arah sebelah kanan di satu hujung
wilayah hijau.
Buat
pertama kali Mahesa Pamalayu menyedarinya. Tasik besar yang memancar warna
berkilau kehijauan di sebelah timur. Hanya hijau.
Budak
botak itu bersorak keriangan, lalu berlari lagi. Diikuti oleh Erkin.
Mahesa
Pamalayu dan Feiyan saling berpandangan, lalu senyuman menguntum. Tidak lama
mereka menunggu untuk ikut serta berlari menuruni bukit pasir paling tinggi
itu.
Lebih
kurang dua puluh dua minit kemudian, mereka tiba di pinggiran tasik besar. Ada
suara riang burung-burung berterbangan menyambut ketibaan mereka.
“Cantiknya
burung-burung itu!” Erkin berkata dengan kuat.
Ada
kuda, lembu dan kambing. Ada padang rumput yang luas. Wujud barisan pepohonan
tinggi yang menaungi dari panas mentari, juga pohon buah-buahan pelbagai jenis
dan warna. Nyaman dan mengasyikkan.
Aura
kehidupan dengan tasik besar menjadi nadi kesuburan.
Budak
botak itu berjalan ke kedudukan mereka berdiri. Ada sengih di wajahnya. “Kau
orang suka?”
Ketiga-tiganya
tak dapat meluah kata-kata. Terasa bencana yang dialami di wilayah pedesaan
mereka, kini berubah menjadi baik.
“Aku
harap kalian bertiga dapat menjaga wilayah hijau ini sebaiknya,” luah budak
botak itu.
“Apa
maksud kau, wahai budak?” Mahesa Pamalayu bertanya. “Kau nak pergi ke mana?”
Budak
botak itu memiringkan sedikit kepalanya dan berkata, “Usah bimbang, Mahesa
Pamalayu. Aku akan kembali lagi ke sini. Cuma jangan lupakan aku.”
“Mana
boleh kami lupakan kau.”
“Ya...
tapi kebanyakan mereka dah lupakan apa makna kehidupan ini. Dari wilayah
pedesaan kalian sahaja, begitu ramai yang lupa akan hikmah kehidupan. Jagat
akan bertindak mengikut apa yang kita perbuat. Nyata lebih mudah menumpahkan
darah berbanding air. Jangan menodai air dan kehidupan dengan sengketa
berdarah.”
“Masih
ramai lagi yang hidup?”
“Masih.
Masih ada orang-orang seperti kalian bertiga. Tetapi terlalu ramai yang dah
rosak dan hilang jati diri. Mereka bercempera di tujuh wilayah kehijauan yang
lain seperti yang ada di sini.”
“Andai
demikian, aku turut sukacita.”
“Tapi...
sekiranya kau jangka banyak kegelapan muncul di persada alam ini, masih ada
jalan untuk kebaikan. Dengan semangat dan setiakawan, kita dapat musnahkan
pusat kejahatan.”
Sebaik
berkata demikian, budak botak itu berlari laju bagaikan tidak terpijak rumput,
lalu terjun menjunam ke air tasik kehijauan itu. Hanya percikan kecil yang
terhasil, dan budak botak itu hilang di dalam air tasik.
“Kita
akan bina rumah dan kehidupan di sini. Apabila tiba masa yang sesuai, kita cari
orang-orang lain yang mungkin masih hidup, dan kita bawa ke sini. Andai ada
kesempatan, kita gempur kumpulan syaitan yang mengancam kehidupan,” putus
Mahesa Pamalayu.
Hijab Kembara (1)
Hijab Kembara (1)
** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment