Apr 26, 2011

Semurni Suara Alam (2)

Selang beberapa hari kemudian, datanglah dua orang sahabat lelaki. Berehatlah mereka berdua di atas seketul batu yang saling berhadapan. Sedang berbual santai, terpandanglah mereka akan bunga teratai di tengah-tengah kolam.

“Amboi! Cantiknya bunga teratai itu, Amin. Kelopaknya kehijauan jerneh. Lembut dan indah dipandang,” kata Khairul sebaik melihat bunga teratai yang mekar kembang.


“Betullah, Khairul. Memang cantik. Tenang saya berada di sini. Sunyi dan dihiasi bunga-bunga teratai. Elok kita selalu ke sini. Boleh berbincang dan saling bermuhasabah,” Amin bersetuju dengan pandangan sahabatnya Khairul sambil mencadangkan supaya lokasi ini dikunjungi lagi.


“Kita jadikan tepian kolam ini sebagai lokasi rehat kita. Saya sungguh kagum melihat teratai-teratai itu terutamanya dua kuntum di tengah kolam,” sambung Khairul.


“Baiklah, Khairul. Kita datang selalu ke tempat ini. Lagi pun tempat ini agak sunyi dan berjauhan dari laluan utama pejalan kaki. Saya kira hanya sesekali orang datang untuk memancing,” Amin memberi cadangan.


Amin berkata lagi, “Kita jangan memetiknya walaupun mungkin kita boleh berbuat demikian. Biarkan teratai kecil dan besar itu menjadi penyeri kolam dan persekitaran di sini. Biarkan mereka terus mekar. Mereka juga ingin hidup seperti mana manusia. Bunga teratai juga merupakan makhluk Tuhan yang tidak perlu dirosakkan.”


Lalu si Teratai Kecil dan Teratai Besar berbual-bual. “Hai si Kecil, bertuahlah kita kerana ada orang yang memuja kita. Kita patut bersyukur kepada Tuhan kerana dengan cintaNya kita dianugerahkan kecantikan sebagai bunga teratai. Sungguh besar rahmat yang Tuhan berikan. Kita hidup di atas permukaan air, senantiasa dibelai kesejukan dan berasa nyaman. Badan kita tidak menjadi kering lantaran kepanasan matahari. Kita sungguh beruntung dan bernasib baik kerana hidup di tengah kolam ini bertahun-tahun tanpa diganggu oleh manusia atau binatang,” Teratai Besar memulakan perbualan tanpa menghiraukan apa isi percakapan dua orang di tepian kolam itu lagi.


“Memang benar cakap awak, sahabat Teratai Besar. Kita sungguh beruntung dan amat bertuah. Kita sebagai teratai hidup aman damai di tengah kolam ini. Mari kita berdoa semoga Tuhan memberikan kita panjang umur, dan kita terus menjadi penunggu dan penyeri kolam yang berair jerneh ini. Kita dipuji dan dipuja oleh dua orang sahabat sejati,” kata Teratai Kecil sambil memicing pandangan ke arah Amin dan Khairul yang masih rancak berbual.


“Kita ibarat sang puteri kayangan.
Siapa memandang tentu jatuh hati dan terpikat akan keelokan rupa paras kita. Lihat sahaja kepada si pengail sebelum ini dan dua sahabat karib itu yang sudah tergoda dengan kecantikan kita berdua,” Teratai Besar berkata sambil tersenyum riang dan bangga.

“Hai si Besar! Jangan pula sampai lupa diri. Ingat akan kuasa Tuhan yang menciptakan kita berdua. Saya sangat berharap kita tidak menyombong diri dengan anugerah yang diberikan Tuhan ini,” jelas Teratai Kecil menjadi penasihat pula.


“Yalah, si Kecil. Saya bukannya berbangga diri.
Terima kasih atas nasihat dan ingatan itu.”

--------------------------------------------------------------------


“Khairul, peperiksaan SPM ada beberapa bulan lagi. Awak sudah buat persediaan? Soal Amin kepada temannya.


“Ya, saya sedang tekun mengulangkaji pelajaran. Saya memberikan penekanan khusus terhadap subjek matematik dan fizik. Oh ya! Saya mahu awak menunjuk ajar kedua-dua subjek itu malam nanti, boleh Amin?” soal Khairul sambil matanya beralih dari memerhati bunga teratai kepada Amin di sebelahnya.


“Ya insyaAllah, Khairul. Kita sudah lama juga berada di sini. Jom kita pulang sekarang. Takut ayah dan ibu kita kerisauan pula,” ajak Amin.


Mereka berdua pun meninggalkan tepian kolam yang redup tersebut dengan berbasikal perlahan-lahan.


“Selamat tinggal, wahai teratai yang cantik. Nanti kami berdua datang lagi ke sini,” laung Khairul sambil mengayuh pedal basikalnya.


--- Akan bersambung (2).

Sebelumnya:
Semurni Suara Alam (1)

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: