Jun 1, 2011

Semurni Suara Alam (4)

Pada hari Ahad, selepas seminggu berlalu, kedua sahabat karib Amin dan Khairul berkunjung lagi ke tepian kolam yang hening dan nyaman itu. Mereka duduk di dua bongkah batu berdekatan. Basikal sudah diparkir di bawah sebatang pokok rendang di sebelah kiri kolam.

“Khairul, apa yang awak cakapkan tadi semasa kita berlumba kayuhan basikal ke sini?” soal Amin sebaik sahaja melabuhkan punggung di bongkah batu.

“Saya kagum dengan kecekapan awak menyelesaikan masalah matematik. Awak hafal betul rumus-rumus matematik berkaitan. Mujur saya ada seorang kawan seperti awak. Tidaklah saya terkial-kial untuk menyelesaikannya sendirian. Terima kasih, sahabat,” ujar Khairul memandang Amin di sebelahnya. Nafas mereka masih lagi laju kerana tadi mereka berlumba kayuhan basikal.

Amin tersenyum sahaja dengan pujian Khairul itu. Baginya ilmu itu anugerah Allah. Cumanya kena berusaha lebih sedikit untuk memahirkan diri.

“Semenjak menjadi pelajar sejak sekolah rendah lagi, saya memang sangat meminati dan dihantui oleh kuasa matematik dan pemodelan fizikal. Malah salah satu bacaan kegemaran saya ialah novel yang berkaitan dengan matematik yang memang ada dalam pasaran jika kita rajin dan tahu untuk mencarinya. Subjek matematik adalah subjek yang menjadi kegemaran saya,” Amin berbicara sambil matanya tajam merenung dua kuntum teratai.

“Sedar atau tidak, Khairul, matematik adalah model utama yang mengerakkan dunia komputer dan elektronik sejak mula-mula sejarah penghasilan komputer dan bahasa pengaturcaraan. Malah matematik juga turut memainkan peranan penting dalam mencipta sejarah dunia. Misalnya ketika Perang Dunia Ke-2 yang menyaksikan kod atau mesin cerdas Enigma pihak Jerman berjaya dipecahkan melalui formula matematik. Dengan kejayaan memecah masuk ke dalam sistem Enigma, yang merupakan sistem meliteri utama yang menjadi senjata canggih pihak Jerman, pihak bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Jerman dalam perang besar itu.

“Keghairahan saya disemarakkan oleh suatu fakta bahawa kebanyakan masalah yang dikemukakan dapat diselesaikan oleh satu teknik atau yang lain, walaupun ada kekangan dalam beberapa anggapan umum dan pemudahan situasi dunia nyata. Kuasa proses matematik, latihan, pemikiran logik, dan kebolehan yang digunakan oleh pakar matematik sukar untuk difahami. Ianya jelas berbeza jika dibandingkan dengan lain-lain bidang sains dan kemanusiaan yang kurang proses hitungan. Saya sukakan cabaran, Khairul,” panjang cerita Amin untuk makluman sahabatnya.

“Wah! Awak tahu semua perkara itu, Amin. Di mana awak mendapat maklumat berkaitan?” soal Khairul kagum.

“Melalui pembacaan buku dan pencarian maklumat di Internet. Kita remaja jangan berfikrian sempit dan mengehadkan pembacaan kita hanya terhadap novel. Lagi-lagi novel cinta leleh, cinta air mata yang hanya membuai-buai perasaan,” luah Amin tanpa berselindung. Kedua-dua kuntum teratai di tengah kolam hanya mendiamkan diri. Teliti mereka mendengar percakapan Amin dan Khairul.

“Dari sebuah buku berkenaan sains, saya dapat maklumat bahawa alam semesta yang kita pinjam ini tidak dapat dijangkakan, walaupun semua penghuni termasuk planet-planet dan cakerawala lain berjalan mengikut hukum Allah yang Esa. Dalam ilmu matematik boleh dikatakan bahawa alam ini secara prinsipnya adalah tidak linear. Banyak peristiwa yang terjadi; seperti bencana alam puting beliung, tsunami, dan gempa bumi; diketahui manusia hanya dengan beberapa teori yang menghampiri realiti atau mungkin juga dengan gambaran yang salah. Ertinya teori atau formula yang telah digunakan selalunya tidak tepat dengan kejadian sebenar.

“Kalau diamati, mungkin agak terkejut kerana kebanyakan kejayaan sains yang telah dicapai adalah melalui banyaknya model dan kefahaman realiti yang kerap kasar, rapuh atau tersasar. Cuba kita fikirkan kaedah ilmu matematik diajar. Memang kita sangat bergantung kepada matematik dalam meneruskan tamadun, namun nampak ianya paradoksikal kerana kurangnya sanjungan umum atau menjadi popular. Bagi kebanyakan orang ia selalunya mengakibatkan rasa kurang senang, takut, dan menjadi ciri mistik. Mungkin ini kerana proses mendapatkan kemahiran matematik secara umumnya berlanjutan dan menyakitkan.

“Memang subjek matematik tidak akan diminati sekiranya sejak awal lagi seseorang menganggap bahawa matematik adalah susah dan menjadi igauan buruk apabila menerima masalah yang perlu diselesaikan. Sebenarnya melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik, ramai orang boleh sedikit sebanyak menguasai ilmu matematik. Kalau bukan pakar sekali pun, paling tidak untuk urusan seharian.

“Bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke batang kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing, mereka tidak mencari sasaran dan kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Sebaliknya mereka mendapat kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan. Seterusnya evolusi ini menjadi titik tolak kepada kemajuan tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman,” jelas Amin panjang lebar.

Khairul memandang Amin tidak berkelip. Tepukan kedua-dua telapak tangan Khairul memecah kesunyian di sekitar kolam. Si Teratai Besar dan Kecil meliuk-lintukkan kelopak mereka turut meraikan curahan ilmu seorang insan bernama Amin.

“Awak ingin tahu lagi topik berkaitan teori dan praktikal matematik ini, Khairul?” soal Amin.

“Okey, teruskan. Banyak ilmu yang awak curahkan hari ini. Teruskan!”

“Permulaan sebenar penggunaan matematik secara meluas ialah dengan penemuan Newton. Sehingga ke hari ini kita masih belajar di sekolah formula ke arah melaksanakan suatu tindakan. Lagi teruk, kita memisahkan mereka dari realiti fizikal melalui komputer yang menghasilkan nombor-nombor dengan ketepatan sangat terperinci. Justeru komputer menjadi penghalang kepada ketidakpastian proses fizikal.

“Melakukan ujian sebenar dan membuat pemerhatian sebelum pemodelan dan pengukuran hasil cubaan matematik, berbanding dengan jangkaan, adalah tatacara yang amat berkuasa. Tetapi menggabungkan kaedah ini dengan pemodelan secara langsung atas skrin komputer akan mempertingkatkan tahap kejelasan.

“Contoh mudah ialah tatacara suatu alat trajektori. Menyediakan trajektori adalah langkah pertama. Memperkenalkan pengaruh perolakan udara dan variasi tindakan lontaran menambahkan kefahaman dan wawasan kepada masalah kompleks yang terlibat,” Amin berkata sambil tersenyum memandang Khairul yang sedikit terkebil-kebil.

“Hahaha. Awak nampak keliru, Khairul. Tidak mengapa. Paling tidak pun awak sudah mahir dari latihan yang kita sama-sama lakukan beberapa hari lalu,” Amin membuat kesimpulan.

Kata Amin seterusnya, “Cuba awak bertanya kepada teratai besar dan kecil itu. Mereka juga asyik mendengar celoteh saya mengenai sains dan matematik.”

“Eh! Mana boleh bunga teratai bercakap? Awak ini ada-ada sahaja,” jawab Khairul ketawa riang.

“Siapa kata bunga teratai tidak boleh berkomunikasi? Mungkin kita sahaja yang tidak mendengarnya,” komen Amin. Khairul mengangguk perlahan-lahan tanda bersetuju.

“Terima kasih atas maklumat hari ini, sahabat. Awak memang rajin membaca dan pandai pula menyampaikannya semula. Okeylah, jom kita balik. Matahari pun semakin tinggi. Perut pun mula berlagu,” kata Khairul seraya memulakan langkah ke arah basikal yang diparkir di bawah pohon rendang.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

P/s: Sudikan komen dan tinggalkan jejak :-)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: