Jan 8, 2015

GUA CINTA 1

Beratus-ratus tahun kemudian
Tarsus, Empayar Rom

Penghuni gua tidak menyedari apa yang terjadi. Begitu jua orang-orang di luar, sama ada dekat atau jauh, sama ada berfikir akan peristiwa itu atau tidak. Sedangkan pelbagai peristiwa buruk dan baik berjalan seperti tindakan manusia, dalam peraturan dan takdir Allah Taala.

Nyenyak para pemuda di dalam gua bagaikan mati, tetapi tidak mati. Roh-roh mereka berada dalam genggaman Allah yang Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah dengan Maha Kuasa-Nya menjaga mereka secara tertib manusia biasa. Ilmu itu milik Allah selamanya.

Walaupun telinga para pemuda itu ditutup oleh Allah, tetapi demi cinta-Nya, Allah tetap membuatkan mata mereka terbuka sehingga tidak rosak. Udara mudah memasuki saraf-saraf mata. Sedangkan dari masa ke semasa untuk suatu tempoh, badan mereka beralih ke kiri dan ke kanan siling berganti.

Sementara itu si Qitmir tetap berada di posisinya, tidak berubah, setia dengan janji bersama tuannya. Duduknya si Qitmir di luar pintu gua bagi membenarkan para malaikat memasuki ke tempat pembaringan hama-hamba Allah yang taat. Anjing itu turut menerima berkah dan manfaat Allah kerana bertemankan manusia yang baik.

Seorang alim sedang memberi khutbah akan keagungan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ramai penganut agama tauhid hadir.

“Amat benar sekali, wahai warga Tarsus! Sekiranya Allah memberi hidayahnya, tiada siapapun yang dapat menghalang. Barangsiapa yang disesatkan-Nya, justeru perbuatan jahat sendiri, nescaya tiada ada satu makhluk pun yang mampu menghindarnya.

“Para pemuda gua itu, dilindungi Allah Taala. Pandangan mata kasar ke arah gua itu tidak dibenarkan oleh Allah, melainkan pastinya mereka yang lalu di situ akan melarikan diri. Sungguh, para pemuda dan anjing itu diselimuti fenomena yang menyeramkan ... sehingga batas waktu yang bakal ditentukan Allah.”

Kemudian orang alim itu membacakan isi Kitab Injil:

“Dan dia akan menghidupkan benteng-benteng kota nenek moyang kita dahulu sebahagian dengan sebahagiannya. Maka, manakala disaksikan orang hancurnya penyembahan patung-patung dari muka bumi ini diketahui oleh orang ramai, bahawa sesungguhnya aku ini seperti manusia lain juga. Maka kebenaran aku katakan kepadamu, sesungguhnya di kala itu Nabi Allah akan datang.” (Injil Barnabas 72:23-24)

“Di manakah tempat Nabi akhir zaman itu, wahai pendita?” seorang lelaki bertanya.

“Paran. Itulah nama tempat yang dijanjikan Allah untuk umat manusia.”

“Di mana ... di mana,” kedengaran suara orang ramai.

“Dengan izin-Nya, Nabi akhir zaman itu akan lahir di Paran. Suatu lembah kering lagi kontang, kelak akan subur dengan iman terhadap Tuhan Yang Maha Esa. Beliau ialah Nabi dan Rasul penutup misi kerasulan, membenarkan ajaran Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa, bahkan membenarkan semua agama wahyu. Namanya Ahmad.”

“Bilakah masa ketibaan Rasul itu?” seorang wanita yang memeluk anaknya bertanya.

“Hanya Allah jua yang mempunyai ilmu itu. Kita tidak ketahui secara nyata bilakah masanya. Dalam Kitab Injil, hanya Allah berikan nama tempat dan apakah bentuk ajarannya. Beliau seorang muslim, seperti kita juga,” jawab orang alim itu.

Maha bernarlah firman-Nya, bahawa semua nabi dan rasul serta para penganut ajaran wahyu adalah Islam yang disebut kaum muslim, yakni yang berserah diri kepada Allah Taala.

“Akan datang nanti, Rasul terakhir Ahmad akan membenarkan semua ajaran para nabi dan rasul. Agama rasul-rasul terdahulu adalah Islam. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Setiap rasul menyeru masyarakatnya ke arah mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan mematuhi syariat-Nya yang diutuskan kepada setiap rasul ini. Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga nabi akhir zaman, baginda diutuskan oleh Allah bagi menegakkan akidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada baginda untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat.”

Seorang pemuda bertanya, “Bagaimana dengan ajaran Nabi Isa kita?’

Pendeta itu menjawab, “Ini bermakna syariat rasul akhir zaman itu adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu, termasuk ajaran Nabi Isa. Ia sesuai dengan suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari kiamat. Nabi Isa hanyalah seorang nabi dan rasul, bukanlah sebagai anak Tuhan.”

Sesi sumbang saran dan diskusi agama diteruskan oleh orang alim itu. Sementara banyak pertanyaan dilayani sebaiknya. Iman tauhid monoteisme di banyak lokasi Tarsus menaungi keberadaan mereka yang semakin harmoni.
***
Tahun 1995, Chechnya

Kedatangan Syeikh Fateh ke kem Khattab memberikan aku kesempatan untuk menimba banyak lagi ibrah kisah Asahabul Kahfi. Tambahan pula aku berehat lantaran sakit apendik masih belum sembuh selepas pembedahan di hospital Benoi dua hari lalu.

Syeikh Fateh bercerita dalam tazkirah.

“Allah SWT menyatakan bahawa Kami jadikan mereka bersabar terhadap tindakan mereka menentang kaum mereka sendiri, serta tinggalkan kampung halaman dan kehidupan mewah. Ramai ahli tafsir kalangan ulama salaf dan kalaf menyatakan iman yang membuat para pemuda itu bersatu.

“Antara lain Allah berfirman: ‘Dan Kami telah memperkuat hati mereka dengan berpegangan kepada kalimah yang haq.’

“Yakni mereka sepakat dengan satu kalimah sehingga menjadi satu tangan yang saling membantu dan bersaudara dalam kejujuran. Lalu mereka membina satu tempat untuk beribadah kepada Allah, sehingga akhirnya diketahui oleh tentera-tentera Daqyanus. Apabila berhadapan dengan pemerintah, mereka dengan berani berkata benar dan jujur, bahkan turut mengajak raja untuk menyembah Allah.” 

** Hakcipta Terpelihara 2015 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: