Sep 7, 2016

Hijab Kembara (3)

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus 10: 62-64)

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (berjihad) kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-Ankabut 29: 69)

Sungguh, pada beberapa ketika dalam hidup, kita didatangi oleh orang-orang yang tidak dikenali. Ia sama ada untuk urusan tertentu atau untuk meminta atau menjual barang-barang. Saya tidak terkecuali. Rumah ada kalanya menerima tetamu yang entah dari mana. Bukan ia tidak diundang, bahkan kedatangan mereka sudah ditentukan Allah Taala. Hikmahnya? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Halus Perhitungannya.

Sungguh, saya percaya tetamu yang tiba ke rumah, walaupun terlihat persis ‘kita yang membeli barang’, tapi yakinlah mereka membawa rezeki. Ya... rezeki itu bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit.

Banyak kali orang menjual buku-buku datang ke rumah. Saya yakin mereka bukan orang senang. Andai orang senang atau banyak duit, takkan menjaja buku dari rumah ke rumah. Dan selalunya saya akan membelinya, walaupun sebuah. Antara hikmah yang saya nampak ialah buku-buku itu akan saya gunakan untuk penulisan, paling tidakpun.

Seumpama kisah-kisah berikut. Ia adaptasi kisah Wali-wali Allah yang diubahsuai oleh saya dari beberapa buah buku yang dijual oleh si penjaja yang tidak dikenali. Masya-Allah. Tabarakallah.

Semoga perkongsian kisah ini turut memberi inspirasi kepada kau orang, sebagaimana ia membuat air mata ini mahu menitis ketika membacanya.

Mohon perhatikan ayat-ayat al-Quran di atas, dan kata kunci yang bergaris (Wali Allah), insya-Allah.
********** 

Ketika Syeikh Syamsuddin berada di Makkah untuk menziarahi Kaabah, dia melihat seorang lumpuh sedang merangkak di sebatang jalan. Orang itu terlihat begitu teruja dan bersungguh-sungguh untuk tiba ke Masjidil Haram.

“Wahai hamba Allah yang mulia, dari mana tuan datang?” Syeikh Syamsuddin bertanya mesra.

“Dari Samarkand,” jawab orang itu ringkas.

“Samarkand? Alangkah jauhnya!” Hairan menerjah lubuk hatinya kerana fikirkan betapa jauh jarak di antara Makkah dan Samarkand yang terletak di Uzbekistan. Tambahan pula Uzbekistan adalah sebuah negara yang bergunung-ganang, beribu-ribu batu dari Makkah.

Ya Allah! Kagumnya aku dengan hamba-Mu yang ini. Begitu sanggup dia berjalan ke kaabah-Mu. Ya Rabb! Sedang aku, hamba-Mu yang banyak menerima nikmat-Mu. Monolog hatinya penuh syahdu.

Keazaman dan kepayahan... itulah yang dia bayangkan apabila melihat keadaan fizikal orang Samarkand itu. Tubuhnya menerima anugerah Allah berupa kecatatan.

“Berapa lama tuan dalam perjalanan ke sini?” Ada titis air mata bergenang di kelopak mata di akhir pertanyaan.

Selain menghitung lamanya masa yang dilalui untuk kembara jihad itu, orang itu turut bercerita akan silih bergantinya musim. Dia lalui dengan sabar amat tinggi. Namun kembaranya mudah, katanya.

“Selama sepuluh tahun.”

Syeikh Syamsuddin termanggu-manggu takjub. Lalu dia memeluk lelaki itu erat sekali, bersama tangisan menghiba.

“Wahai, Syeikh Syamsuddin, mengapa tuan menangis?”

“Saya hairan dengan keadaanmu, sahabat yang mulia. Walau begitu, tuan masih cekal untuk ke mari.”

Jawapan berikut membuat Syeikh Syamsuddin menangis teresak-esak.

“Wahai Syeikh Syamsuddin. Jauhnya perjalananku ini menjadi dekat lantaran perasaan rindu kepada Allah. Tubuh saya ini, tuan... hanya Allah yang gerakkannya agar cekal menerima seadanya. Adakah tuan hairan dengan hamba Allah yang lemah ini yang dibawa oleh Tuhan Yang Maha Belas Kasihan?”

Hanya tangisan menjadi jawapan kepada pertanyaan orang itu. Lalu lelaki itu bermadah:
“Aku menziarahi-Mu kerana rindu, walaupun payah dalam jerih perjalanan ini. Rindu menjadikan aku bahagia seorang yang tak punya apa-apa. Tak dinamakan cinta bagi mereka yang takut menanggung risiko dan tak tahan menempuh kembara yang jauh. 
“Dosa itu lebih kelam dan hitam dari lorong gelap. Lalu hanya cahaya Allah yang dapat membersihkannya. Usah terus dibelenggu setanggi syaitan. 
“Andai dihitung amalku belum tentu dapat menghampiri gerbang syurga-Mu. Sudikah Kau menerima hamba-Mu ini?”

Maka rebahlah Syeikh Syamsuddin di pangkuan orang cacat itu, di hadapan rumah Allah yang mulia.

* Kisah-kisah ini saya masukkan ke dalam manuskrip HIJAB KEMBARA (Kritik-Puisi-Certot-Cerpen) yang masih ditekuni.
** Foto grafik: Novel PERANG ARMAGEDON, yang turut mengandungi kisah di Mageddo.

 ** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Sep 5, 2016

Hijab Kembara (2)

Mageddo adalah nama sebuah lembah di Palestin - yang dijarah Zionis-Yahudi - yang diramalkan tercetusnya Perang Armagedon oleh sebuah konspirasi tahap tertinggi. Ia terbentang dari Mageddo sehingga ke utara, kemudian sehingga ke Edom di selatan, seterusnya sampai ke Laut Putih di barat dan Bukit Mohab di timur. Dijangkakan oleh pakar strategi perang, sekiranya panglima perang dapat menguasai wilayah ini, maka batalion itu dapat mematahkan setiap serangan.

Dalam pada itu, ada sisi lain yang turut terlibat... terhijab bagi yang tak mahu buka mata hati. Dunia sejajar berdimensi lain, yang turut bersengketa dan cuba untuk mencari penyelesaian, kononnya, untuk jagat manusia.

Dunia akhir zaman yang panas, kering, kontang iman... dan kontang dalam rupabentuk muka datarannya. Manusia dan makhluk yang fana saling cuba untuk mengungguli satu sama lain. Namun hukum Tuhan Yang Maha Esa siapa dapat atasinya?
**********

Budak botak itu memandang Erkin. Bagaikan ada pertautan naluri antara mereka berdua. Atau memangnya ada rasa itu? Alih-alih kedua-duanya melangkah lambat-lambat ke satu sama lain. Kemudian dalam masa yang tidak dihitung, dari posisi di dataran mereka berlari dengan kedua-dua tangan mendepa.

Mereka berlanggar secara berdepan. Dada melanggar dada. Peliknya bukan sakit yang terpamer, malahan ketawa keriangan. Diikuti tubuh kedua-duanya jatuh berguling ke hamparan rumput hijau yang tiba-tiba muncul, dan mereka ketawa.

Feiyan tersenyum senang, kemudian ketawa riang. Dia turut merasai tautan antara adiknya dan budak lelaki botak itu.

Usai ketawa, Erkin dan budak botak bangun hampir serentak dan saling berpelukan. Masing-masing menepuk belakang. Sebaik usai, budak botak itu memandang ke arah Mahesa Pamalayu, lalu berlari.

Budak botak itu tiba di posisi Mahesa Pamalayu agak terlajak lantaran lajunya larian. Dia terseret kaki beberapa ela dari posisi Mahesa Pamalayu. Namun dalam masa beberapa saat sahaja, budak botak itu memeluk Mahesa Pamalayu dan cuba menyentuh muka lelaki dewasa itu.

Mahesa Pamalayu merendahkan badannya dan melutut. Budak botak itu melagakan pipinya ke pipi Mahesa Pamalayu silih berganti kanan dan kiri. Mahesa Pamalayu terkesima dalam rasa yang cukup indah. Aura cinta dan kasih sayang. Aura kehidupan menjalar.

Pertemuan di dataran padang pasir besar itu membuah benih-benih cinta sesama makhluk. Kemudian budak botak itu berkata, “Jom ikut aku.” Budak botak itu segera berlari mendaki bukit pasir.

Tiada sebarang kata terluah dari ketiga-tiga orang yang turut berlari mengikuti larian budak botak itu. Mereka merentasi padang pasir. Sebaik tiba di atas bukit pasir, mereka melihat pemandangan yang menakjubkan.

Di bawahnya, terbentang lembah besar yang subur dengan warna kehijauan. Mahesa Pamalayu terkesima kali kedua, dan kali ini mulutnya terlopong.

“Lihat itu!” Feiyan berkata sambil menunjuk ke arah sebelah kanan di satu hujung wilayah hijau.

Buat pertama kali Mahesa Pamalayu menyedarinya. Tasik besar yang memancar warna berkilau kehijauan di sebelah timur. Hanya hijau.

Budak botak itu bersorak keriangan, lalu berlari lagi. Diikuti oleh Erkin.

Mahesa Pamalayu dan Feiyan saling berpandangan, lalu senyuman menguntum. Tidak lama mereka menunggu untuk ikut serta berlari menuruni bukit pasir paling tinggi itu.

Lebih kurang dua puluh dua minit kemudian, mereka tiba di pinggiran tasik besar. Ada suara riang burung-burung berterbangan menyambut ketibaan mereka.

“Cantiknya burung-burung itu!” Erkin berkata dengan kuat.

Ada kuda, lembu dan kambing. Ada padang rumput yang luas. Wujud barisan pepohonan tinggi yang menaungi dari panas mentari, juga pohon buah-buahan pelbagai jenis dan warna. Nyaman dan mengasyikkan.

Aura kehidupan dengan tasik besar menjadi nadi kesuburan.
Budak botak itu berjalan ke kedudukan mereka berdiri. Ada sengih di wajahnya. “Kau orang suka?”

Ketiga-tiganya tak dapat meluah kata-kata. Terasa bencana yang dialami di wilayah pedesaan mereka, kini berubah menjadi baik.

“Aku harap kalian bertiga dapat menjaga wilayah hijau ini sebaiknya,” luah budak botak itu.

“Apa maksud kau, wahai budak?” Mahesa Pamalayu bertanya. “Kau nak pergi ke mana?”

Budak botak itu memiringkan sedikit kepalanya dan berkata, “Usah bimbang, Mahesa Pamalayu. Aku akan kembali lagi ke sini. Cuma jangan lupakan aku.”

“Mana boleh kami lupakan kau.”

“Ya... tapi kebanyakan mereka dah lupakan apa makna kehidupan ini. Dari wilayah pedesaan kalian sahaja, begitu ramai yang lupa akan hikmah kehidupan. Jagat akan bertindak mengikut apa yang kita perbuat. Nyata lebih mudah menumpahkan darah berbanding air. Jangan menodai air dan kehidupan dengan sengketa berdarah.”

“Masih ramai lagi yang hidup?”

“Masih. Masih ada orang-orang seperti kalian bertiga. Tetapi terlalu ramai yang dah rosak dan hilang jati diri. Mereka bercempera di tujuh wilayah kehijauan yang lain seperti yang ada di sini.”

“Andai demikian, aku turut sukacita.”

“Tapi... sekiranya kau jangka banyak kegelapan muncul di persada alam ini, masih ada jalan untuk kebaikan. Dengan semangat dan setiakawan, kita dapat musnahkan pusat kejahatan.”

Sebaik berkata demikian, budak botak itu berlari laju bagaikan tidak terpijak rumput, lalu terjun menjunam ke air tasik kehijauan itu. Hanya percikan kecil yang terhasil, dan budak botak itu hilang di dalam air tasik.

“Kita akan bina rumah dan kehidupan di sini. Apabila tiba masa yang sesuai, kita cari orang-orang lain yang mungkin masih hidup, dan kita bawa ke sini. Andai ada kesempatan, kita gempur kumpulan syaitan yang mengancam kehidupan,” putus Mahesa Pamalayu.

Hijab Kembara (1)

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Sep 1, 2016

Hijab Kembara (1)

Akhirnya mereka tiba di pinggir suatu tasik. Namun... mereka kaget dengan apa yang dilihat. Hanya beberapa untaian air yang jatuh dari atas cenuram ke dalam tasik di bawahnya. Tasik itu berubah menjadi suatu lopak air sahaja. Ruang lain dipenuhi oleh pepasir yang berkilau dipanah terik cahaya mentari.

“Ya Allah! Apa dah jadi ni?” Keluh Feiyan.

“Ke mana mereka semua pergi?” Erkin bertanya.

“Siapa?” Balas Mahesa Pamalayu.

“Semua haiwan itu.”

“Lihat di sana,” kata Mahesa Pamalayu sambil menunjuk ke satu sisi tepi cenuram.

Di atas belebas batu tinggi, berdiri seekor singa dengan pandangannya ke arah tanah. Makhluk dari tasik atas yang menjadi lagenda kaumnnya. Adakah benar wujud tasik di atas?

Kemudian... sang singa besar itu ditemani oleh seekor lagi. Kemudian seekor lagi muncul... dan lagi, dan lagi. Lalu beratus ekor membentuk barisan panjang di sepanjang puncak air terjun yang kering.

Feiyan dan Erkin terlopong.

Kemudian dua barisan terbentuk. Seorang budak lelaki botak menapak di laluan itu. Lalu semua singa itu berlutut memberi hormat.

Untuk beberapa saat, Mahesa Pamalayu menahan nafasnya. Dia terkesima.

Rona wajah budak botak itu berubah menjadi dukacita, lalu suara raungan memecah sunyi. Suara raungan membawa kesedihan dan berwalang durja. Suara tangisan alam.

Ketiga-tiga orang di bawahnya turut terasa, lalu mereka terjelepuk berlutut. Air mata mengalir, terutamanya Feiyan yang teresak-esak.

Suara tangisan budak botak itu semakin meninggi. Kemudian... merengek, dan sunyi. Mahesa Pamalayu mendongak melihatnya. Sorotan mata budak botak itu mengarah ke daratan yang kontang dalam beberapa minit. Khali.

Kumpulan haiwan singa itu beralih dan berundur perlahan-lahan. Dan budak botak itu turut sirna. Yang tinggal hanyalah cenuram yang sunyi.

“Jadi sekarang kau dah jelas. Kita dalam sengsara,” satu suara menerpa deria telinga mereka. Kirin muncul semula.

Aras air kolam menurun. Lekas-lekas ketiga-tiga mereka turun dan menceduk air untuk membasuh buka dan minum. Tapi aras air surut dengan pantas, diserap pepasir.

Aras air di buku lali menjadi kering. Kontang! Kering sepenuhnya!

“Pergi kembali ke perbatasan dua wilayah itu. Lalui hutan hitam itu, dan di hujungnya kau akan temui apa yang dicari,” pemuda wali Allah berkata.

“Seluruh planet begini kontang?” Mahesa Pamalayu bertanya.

“Apa yang kau jangkakan?” Soal Kirin pula.

“Kau orang ada kapsul energi itu. Gunakan secara saksama,” kata pemuda Wali Allah.

Mahesa Pamalayu mengangguk dan berkata, “Dengan izin-Nya.”

Kirin, Feiyan dan Erkin kehairanan melihat pelakuan lelaki dewasa itu.

“Kau bercakap dengan siapa?” Tanya Kirin.

“Dengan seorang hamba Allah yang mulia. Seorang manusia hebat.”

“Aku tak nampak pun.”

“Ada hikmah Allah yang kau tak fahami.”

Kirin terdiam. Walaupun kurang memahami, tapi dia tak mahu bertanya lanjut. Apa yang penting ialah survival kehidupan ini. Dia yang bersayap pun tiada kekuatan selain yang sedia ada.

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Aug 11, 2016

KONSPIRASI MAHARAJA - BAB 24


Amati syaitan atau amalan syaitan atau para pendukung syaitan. Fahami bahawa ada niat jahat di belakang mereka, dan dalam masa yang sama ada keindahan yang enggan mereka nyatakan, dan ia tidak mahu manusia dan jin amalkan. Keindahan itu adalah hikmah kenabian yang tidak mahu puak-puak dunia kegelapan maklumkan kepada manusia dan makhluk yang ada iman.

Kumpulan syaitan mengelak daripada makhluk baik-baik kerana bercakap tentang orang-orang baik akan menyinggung dan menganggu mereka.

Perjuangan menentang tentera Iblis dan Dajjal memerlukan kesabaran, kemahuan yang kuat dan hikmah tersendiri. Ini kerana syaitan, berupa manusia dan jin adalah bijak, keras kepala, derhaka dan penipu. Umat Islam perlu sangat bijak, sabar dan sepatutnya dapat membuat perancangan terbaik.

Maklumilah, bahawa syaitan tidak mudah berputus asa, dan sistem Dajjal – atau orang Barat memberi gelar Anti-Christ - tidak akan mati serta-merta. Tiap-tiap pelan tunggal mereka untuk musnahkan umat Islam secara spiritual dan fizikal mesti dimusnahkan satu demi satu dengan jalan sabar, solat dan jihad.

Dr. Hizam Al-Fateh memintal kefahamanan, dan dalam masa yang sama memaut kekuatan dalam menggapai makna Maha Kuasanya Allah Taala.
**********

Januari 2025, ruang dimensi alam
Kota Tarantula

Waktu malam kini apabila mereka tiba di gapura kota. Tak cantik manapun, sekadar pintu masuk besar berupa persis sebuah bukit besar terbelah. Ada tulang berserakan di beberapa sudut. Ada pesawat terbang juga, sisa dari peperangan besar yang lalu.

Bangunan-bangunan terlihat redup, namun masih ada sinarnya yang agak pelik. Orang-orang yang berkawal di luar memegang sejenis lentera, ada ketawa kecil dalam memerhati rakan-rakan bermain dadu. Terlihat matawang di sebelah masing-masing. Sebaik melihat mereka berdua, orang-orang itu segera bangun, ada wajah dan langkah hati-hati menerima kehadiran mereka.

Si Peninjau tidak hiraukan perhatian yang diterima, melainkan terus melangkah tanpa kata. Baiknya ialah tiada seorangpun yang menghalang. Bahkan sebaik sahaja kedua-duanya meneruskan langkah, kumpulan mereka duduk kembali. Ketawa semula.

Dalam langkah hati-hati dan jiwa bertasbih ke hadrat Allah Azza wa Jalla, Dr. Hizam Al-Fateh yang mengekori secara rapat temannya itu melihat ke belakang sekilas. Dia melihat orang-orang atau makhluk berupa orang saling berbisik-bisik di sela-sela ketawa mereka. Bisik akan sesuatu, manakala ketawa kerana bermain judi.

Mereka berdua melintasi di antara rumah-rumah yang gelap, melalui parit, batas dan timbunan lumpur, kolam-kolam air yang bersemak dan kotoran najis. Walaupun Dr. Hizam Al-Fateh pernah beberapa kali memasuki dunia bunian bersama Tuan Guru Syeikh, tapi kali ini agak berlainan. Kali ini dia memasuki lembah hitam alam jin, atau bunian kata orang-orang di Nusantara.

Tidak semena-mena: Lantas teringat lakaran terperinci kota kara itu, yang menjadi salah satu minat mendalam dalam kajiannya. “Kota Tanjung Pura ... Pentas Sunda Atlantis Melayu,” suaranya hanya bergumam di dalam dada.

“Hizam al-Fateh, kota Tanjung Pura ini ialah sebuah gapura. Gapura atau gerbang di antara dua dimensi buana... jambatan dua alam – jagat bunian-angelik dan manusia,” susuk itu berkata sambil membongkok mengambil segenggam tanah.

“Eh, apakah maksudnya?” Dr. Hizam Al-Fateh bersuara. Suara penerangan di alam mimpinya mendatangi ruang minda.

“Mengapa, Fateh? Apa yang kau pelikkan?” Si Peninjau segera menoleh teman di sisinya.

“Mungkin... mungkin aku tahu arah tujuan kita.”

“Ya... kau manusia. Deriamu lebih tajam daripada kaum aku. Setahu aku kau sudah menemui Raja Suleyman, kan?”

Angguk seraya menguntum senyum. Menapak laju-laju.

Anak-anak kecil yang terlihat kumuh mengintai di sebalik jendela. Macam-macam rupa ada pada pandangan Dr. Hizam Al-Fateh. Anak-anak kecil dan remaja yang berumur ratusan tahun mungkin, benaknya berkata-kata.

“Ada apa lagi?” tanya Si Peninjau seolah-olah dapat menebak apa yang sedang difikirkan oleh rakannya itu.

“Ada orang-orang yang memerhati kita. Mungkin ingin tahu. Tapi menurut firasat aku, bukan musuh.” Deria dalaman Dr. Hizam Al-Fateh bersiaga. Kerahan ilmu persilatan dan dunia ghaib dirangkai bersama. Dia juga dapat merasakan Tuan Guru Syeikh ‘melihat’ dan memantau kembara mistik ini. Ajaran ‘melihat’ dan merasai dengan mata hati sudah lama diajarkan oleh Tuan Guru itu kepadanya.

Tidak berapa lama kemudian, terpapar kelibat kota itu. Masih samar-samar, tapi pasti bentuknya. Kedengaran bising dan asap terlihat menerawang ke angkasa. Ada ketawa, juga jeritan sekali sekala. Bunyi ceburan air juga turut mengambil tempat.

Di pintu masuk yang diperbuat dari kaca tebal, Dr. Hizam Al-Fateh masih dapat melihat susuk dan bayangan sekumpulan makhluk. Senjata berada dalam pegangan masing-masing – berupa pisau panjang bercangkuk.

Mereka membuka pintu kaca agam itu. Mudah sahaja. Sekumpulan makhluk itu tidak menganggu kehadiran kedua-duanya yang melintasi pintu masuk kota kara. Tetapi wajah-wajah mereka terarca ketakutan atau mungkin rasa yang lain – sukar ditelah. Ada yang berbisik-bisik, dan Dr. Hizam Al-Fateh dapat menangkap antara bisikan itu ialah “... manusia...”

Si Peninjau berkata, “Nama aku ialah Pengeran Galoh. Panglima Pangeran Galoh dari kerajaan Darussalam. Aku mencari Al-Hind Guntur.”

Walau apapun, kumpulan pengawal itu tidak terkejut, bahkan kali ini tersenyum. “Memang kami sedia menunggu kamu, Tuan Panglima. Ayuh ikut aku,” salah seorang daripada pengawal berkata, sambil matanya menjeling ke arah Dr. Hizam Al-Fateh.
**********

Agak kelam di bahagian dalam dengan bersimpang siur bilik-bilik dan laluan. Suara bersipongang, melantun-lantun dari sudut berlainan. Asap kekal menerawang. Hawa sekeliling laluan itu pengap dan berbau lebih teruk dari luar.

Tatkala mereka melalui koridor yang panjang, para lelaki melepasi mereka... ada hamba-hamba yang digiring dengan cemeti. Sekumpulan tertunduk pandangan, dan sekumpulan lagi berjalan malas-malas.

Hamba? Masih ada hamba di alam ini? Detik Dr. Hizam Al-Fateh.

Mereka tiba di lingkaran tangga naik ke atas, luas tapi kelihatan berkolek-kolek. Akibat mata pedih dimasuki asap, Dr. Hizam Al-Fateh tersadung sesuatu. Selonggok sampah yang entah apa-apa. Ada agas dan lalat yang berterbangan, tidak syak lagi.

Tangga dinaiki. Gelap. Mereka berdua dengan dipandu oleh ketua pengawal cuba memicing pandangan dalam kekalaman itu. Akhirnya mereka tiba di bahagian atas, sebuah bilik atau ruang yang panjang, samar dan penuh dengan asap.

Asap lagi! Detik hati Dr. Hizam Al-Fateh. Tapi sejenak kemudian dia tersenyum. Yalah, kan makanan mereka diperbuat dari asap.

Lantai ruang itu diperbuat dari sejenis kayu keras. Ada sudut besar di hadapan.

“Silalah. Teruskan,” ujar ketua pengawal.

Duduk suatu susuk dengan dikelilingi beberapa yang lain di sudut kanan. Badannya sedikit kecil, sedangkan wajahnya juga tirus ke atas, dan berambut pendek. Kolar pakaiannya diperbuat dari emas dengan warna baju merah campur hijau.

Panglima Pangeran Galoh berkata sambil berdiri, “Aku minta dipertemukan dengan Al-Hin Guntur.”

Makhluk kerdil itu menyahut, “Kau dah juma dia.”

“Kau kenali aku atau tidak?” Panglima Pangeran Galoh.

“Ya... kau panglima itu. Panglima dengan bala tentera yang menyelamatkan kota kara ini dari dihancurkan oleh tentera Vlad Drakul dengan legion Vampire-nya. Aku tetap ingat dengan kebaikan yang kau orang berikan,” jawab Al-Hin Guntur sebelum matanya memandang susuk Dr. Hizam Al-Fateh. “Dia manusia?”

“Ya... aku manusia. Nama aku Hizam Al-Fateh,” jawab si empunya diri.

“Kau dari Nusantara, kan? Anak didik Tuan Guru Syeikh?”

Hanya anggukan dari Dr. Hizam Al-Fateh. Para pengawal di sekeiling yang sedikit menjauh saling berbisik-bisik. Ada kagum terpamer di mata mereka.

“Nama Tuan Guru Syeikh cukup terkenal di Nusantara, dan aku tahu kesaktian orang itu. Hebat dalam dua alam!” Al-Hin Guntur berkata. “Baik, Panglima. Maksud kedatangan kalian berdua?”

“Aku mencari pintu – gapura untuk ke seberang dengan pantas. Aku ada misi demi kebaikan makhluk sejagat. Ada perancangan buruk lagi besar dari Lucifer dan kalangan kerajaan dunia kegelapan. Aku mengerti yang kau orang tak suka dengan kejahatan mereka itu.”

“Boleh aku tahu apakah maksud kalian nak ke sana?”

“Itu urusan rahsia. Kau tak perlu tahu. Yang aku tahu kau mengetahui arah ke sana, ke kota lama itu.”

“Baik. Aku boleh tunjukkan jalan ke sana. Tapi aku dan kumpulan aku tak ada kekuatan untuk memasukinya. Aku yakin... hanya manusia seperti sahabat kau itu yang boleh.”

Persetujuan dicapai.

Laluan ke bawah... ke alam bawah lapisan bumi.
**********

Dia melalui laluan itu sekali lagi, seperti mana di alam mimpinya beberapa hari lalu. Sebuah tamadun yang dikatakan hilang ditelan zaman. Dia hanya mendiamkan diri kala ini, sehingga tiba di satu titik penting, sebuah bentuk bulatan saujana mata memandang. “Di mana lokasi ini?” Dr. Hizam Al-Fateh bertanya.

“Kau dah tahu, cuma mungkin kau hairan. Banyak bentuk binaan yang tak kau bayangkan. Tinggalan purba – Atlantis Melayu - yang dibina kembali di beberapa bahagian penting, ia terletak di bawah tanah Gunung Padang. Salah satu binaan yang dipelihara oleh golongan kami ialah piramid itu,” jawab Panglima Pangeran Galoh.

Dr. Hizam Al-Fateh meneliti bentuk piramid itu. Ia seiras binaan piramid di Mesir, dengan susunan  bebatuan bertingkat-tingkat. Kota Tanjung Pura sudah direntas kira-kira dua jam lalu, mengikut perkiraannya, semenjak memasuki kota kara Tarantula.

Pentas Sunda Atlantis Melayu ini benar-benar wujud! Suara hati Dr. Hizam Al-Fateh bergumam dalam tasbih dan pujian ke hadrat Allah Azza wa Jalla. Subhanallah!

“Kota Tanjung Pura, sebuah gapura. Gapura atau gerbang di antara dua dimensi buana - jambatan dua dunia – jagat bunian-angelik dan manusia.” Terngiang-ngiang kata-kata Raja Suleyman.

“Tingginya tak kalah daripada piramid Giza di Mesir, 140 meter lebih,” suara Panglima Pangeran Galoh tatkala melihat rakannya seolah-olah bermenung.

“Jadi gapura atau laluan itu berada di dalam piramid itu?”

Hanya anggukan dari Panglima Pangeran Galoh.

Kun fayakun dari ilmu milik Allah Taala. Jadilah! Maka jadilah ia.

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jul 23, 2016

Suhuf Dasawarsa (1)

“Kau berbohong! Kau juga seperti mereka, bijak dalam mengatur bicara,” Kiptius berkata.

Syakir melangkah lagi ke arah Kiptius. “Kau cakap aku berbohong. Kau kira apa aku dapat dengan berbohong dengan kau? Yang pasti, kaulah bapak segala penipuan, kerana kau tahu dengan menipu daya, kau dapat habuan besar. Bukankah itu senjata utama kau? Sedangkan aku tak dapat apa-apa dengan berbohong.”

Kiptius terdiam. Patah hujah, barangkali. Raut wajahnya tegang, matanya tidak berkelip. Ada aura kemarahan meruap. Syakir berada di sisi lebih peluang untuk menang.

Syakir melangkah lagi, dan Kiptius berundur beberapa tapak.

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Feb 22, 2016

Apa ada pada gua yang mencari cinta?

GUA CINTA - Travelog Mujahidin, sebuah novel 416 muka surat. Insya-Allah, akan segera menyala!

Pemuda jihad, Mujahidin dan alam buana... sama-sama mencari CINTA! Demi CINTA, sebuah GUA dan banjaran gunung bersaksi akan keimanan para pemuda. Perang itu tipu muslihat, sabda Rasulullah SAW. 

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.