Bab 3
Menurut kata ibuku, aku ini berasal dari keturunan orang baik-baik. Datuk aku berasal dari tanah Jawa, Indonesia, menjawat jawatan sebagai seorang pengiring raja di zaman itu. Setiap kali raja kepergian ke mana-mana sahaja, baginda menaiki gajah. Datukku menjadi ketua gembala gajah, sekali gus ketua pengiring. Oleh kerana jawatan penting tersebut, datukku menjadi megah dan ego.
“Banyak kali apabila memasuki sesebuah kampung, gajah memijak-mijak tanaman orang dan memakan apa sahaja yang disukainya. Datukmu hanya membiarkannya sahaja,” cerita ibuku di suatu ketika semasa bersantai bersama di kampung asal dahulu.
Ibuku berkata lagi, “Ke mana sahaja raja pergi, diiringi baginda dengan payung kuning. Wah! Apa lagi, datukku itu bernyanyi-nyanyi riang. Cerianya hati dia.”
Datukku dipakaikan tali pinggang diraja berwarna kuning. Apa lagi, menurut ibuku, bertambah riaklah dia.
“Bila tua-tua begini, terasa insaf apabila mengingatkan pelakuan di masa muda-muda dahulu,” ibuku bercerita sambil menangis.
Ibu menyambung lagi, “Dia sudah insaf dan sedar akan sikap keegoan semasa muda dahulu. Dia menangis siang dan malam memohon keampunan Allah.”
Datukku dikurniakan Allah tiga orang anak, semuanya lelaki. Ayahku adalah anak bongsu. Semasa datuk bersama anak-anaknya, dibawanya mereka ke Mekah seorang demi seorang menunaikan fardu Haji. Anaknya yang sulung bernama Haji Muhammad Din. Anak kedua bernama Haji Muhammad dan ayahku yang merupakan anak ketiga bernama Haji Muhammad Amin.
“Ayahmu masa kecil dahulu kerap ditimpa penyakit, hampir-hampir matilah. Datuk dan nenekmu membawa ke mana-mana sahaja berubat, tetapi tidak sembuh-sembuh,” jelas ibuku sambil tersenyum mengingatkan peristiwa lampau.
“Di Kuala Terengganu dahulu ada seorang alim, namanya Said Sagar. Ayahmu dibawa oleh datuk berubat dengannya. Hari demi hari, penyakit ayahmu semakin sembuh,” ibu menyambung ceritanya.
Diperikan orang bahawa Said Sagar memiliki kebolehan istimewa anugerah Allah. Orang putih (orang British) tidak dapat memasuki ke Kuala Terengganu semasa dia ada di waktu itu. Ditiupnya orang-orang putih tersebut. Akibat tiupan itu, tempat atau lokasi mereka akan bergegar hebat. Justeru itu, ramai orang mengatakan bahawa Said Sagar adalah seorang wali.
Bapa saudaraku Haji Muhammad Din adalah seorang yang dihormati kerana ilmu agamanya.
“Pergi ke kedai beli rokok,” suruh bapa saudaraku kepada kawan-kawannya. Rokok itu adalah daun rokok, bukannya rokok bertembakau dalam kotak.
“Di mana mahu dibeli, Tuan Haji? Bukankah semua kedai sudah ditutup. Sudah tengah malam sekarang ini,” jawab salah seorang rakannya.
Sekonyang-konyang seikat rokok daun (atau rokok pucuk) jatuh di hadapannya entah dari mana. Kata bapa saudaraku, orang yang menghisap rokok tersebut terdiri dari tiga orang sahaja. Ditakdirkan Allah, ketiga-tiga orang tersebut menjadi orang ternama. Salah seorang ialah Haji Mohamad, Kadi negeri Terengganu di ketika itu. Dua orang yang lain ialah kawan seorang lagi dan bapa saudaraku sendiri, Haji Muhammad Din.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Bapa saudaraku Muhammad Din lebih mesra dengan panggilan Baba di kalangan penduduk kampung dan di sekitarnya. Baba sangat dihormati orang ramai. Ke mana sahaja beliau pergi, penerimaan orang ramai sangat baik. Beliau kerap pergi berziarah kawan-kawannya di sekitar Kuala Terengganu. Sekembalinya ke Besut, beliau membawa pulang wang beribu-ribu ringgit. Cerita orang, semua wang tersebut adalah hasil pemberian dari kawan-kawannya yang rata-rata senang dan menjadi orang ternama.
Ketiga-tiga anak datukku itu menghafal kitab suci Quran, iaitu seorang hafiz. Itulah mungkin kelebihan yang ada pada para hafiz. Mudah diterima dan dihormati orang. Rezeki menjadi murah.
Bapa saudaraku yang kedua bernama Haji Muhammad juga tidak kurang ilmunya. Beliau memiliki kebun buah-buahan. Orang yang berniat jahat takut untuk mengambilnya. Sekiranya ada sesiapa yang mencuri buah-buahan dari kebun dan memakannya, nescaya orang itu akan sakit perut, membuang air besar tanpa henti. Najis yang keluar tersebut bukannya sekali sahaja, malah sampai berhati-hari tanpa henti. Sekiranya orang yang memakan buah-buahan hasil kerja mencuri tersebut tidak memohon maaf secara berdepan dengan Haji Muhammad, pasti teruk jadinya.
Pada suatu hari, ada seorang hamba Allah memasuki kebun bapa saudaraku Haji Muhammad, lalu mengambil buah dan memakannya. Usai sahaja menelannya, dia terus terberak di situ juga. Keluar najisnya berterusan walaupun sudah berada di rumah sendiri.
Setelah terberak tanpa henti-hentinya, atas nasihat orang kampung yang tahu, hamba Allah itu bertemu tuan empunya kebun, iaitu bapa saudaraku.
“Saya mengaku mencuri salah satu buah dari kebun Tuan Haji. Saya menyesal dan memohon maaf. Tolonglah! Sudah dua hari saya berkeadaan begini,” akui hamba Allah itu sambil memohon maaf di hadapan Haji Muhammad.
“Ya Allah! Sebab itulah jangan mencuri buah-buahan dari kebun aku. Kalau mahu, sila minta secara baik. Mencuri itu haram hukumnya. Apa yang menimpa kau sekarang ini ialah balasan dari Allah. Buruk padahnya!”
Sebaik sahaja bapa saudaraku Haji Muhammad memaafkan perbuatan hama Allah itu, serta merta hilang sakit perutnya dan berhentilah keluar najis.
Cerita ayahku pula, Haji Muhammad Amin lebih kurang sama. Pada satu peristiwa, ada orang yang mahu menembak ayahku dengan senapang. Sebaik sahaja laras senapang tersebut diacukan kepadanya, tidak semena-mena dia menjadi keras tanpa dapat berbuat apa-apa. Tercengang orang itu dan senapangnya jatuh ke tanah. Orang jahat itu lantas merangkak memohon maaf kepada ayahku. Selepas ayah menepuk di bahagian belakangnya, orang yang cuba untuk membunuh ayah tadi lantas dapat bangun dan berjalan semula. Ayah sudah memberikan kemaafan kepadanya.
Aku percaya semua kejadian itu merupakan kuasa Allah. Dengan sifat Allah yang Maha Besar, Dia boleh sahaja menganugerahkan sebarang keistimewaan kepada hamba-hambaNya yang soleh dan selalu berharap dengan bantuanNya. Tanpa kuasa Allah, kita semua tiada apa. Sama sahaja.
-- Akan bersambung.
Sebelumnya: (1) Agungnya CintaMu Tuhan
(2) Agungnya CintaMu Tuhan
(3) Agungnya CintaMu Tuhan
Agungnya CintaMu Tuhan (4)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment