Feb 10, 2011

Agungnya CintaMu Tuhan (6)

Bab 3

Pada usia tua, datukku bernikah dengan seorang perempuan di Perak. Di sanalah dia menetap. Tidak pula aku tahu sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia. Ibuku menceritakan bahawa datukku itu pernah bertapa di sebuah gua di dalam hutan negeri Perak.

Menurut cerita dari bapa-bapa saudaraku sebelah datuk, beliau merupakan seorang Wali Allah setelah menyesal dengan sesungguhnya atas perbuatan semasa menjadi pengiring raja dahulu. Beliau seorang yang kuat beribadah dan sangat takut kepada Allah.

“Datukmu hilang di pagi Hari Raya Puasa. Dia ke sungai untuk berwuduk, tetapi tidak kembali setelah lama orang menunggunya. Nenek ke sungai itu untuk melihat apa yang terjadi, namun yang ada hanya kain serban dan tongkatnya sahaja,” jelas salah seorang bapa saudaraku.

Bapa saudaraku terus berkata, “Pada sebelah malamnya nenek bermimpi bertemu datuk. Dalam mimpi nenek, datuk berpesan tidak usah risau akan dirinya. Dia sedang bertapa di sebuah gua. Datuk berpesan kepada nenek, bila anak-cucunya ingat dan menyebut-nyebut namanya, dia akan datang. Bila anak-cucu sakit, sebutlah namanya. Menurut nenek lagi, bila malam dia datang menulis ayat-ayat di dahi si sakit. Dengan izin Allah, sembuhlah sakit itu.”

Itu hanya Allah yang punya kuasa. Kita hanya berusaha sahaja. Rezeki, jodoh, sakit dan maut di tangan Tuhan. Kita tidak dapat menahannya seandainya itulah takdir Allah kepada setiap insan. Kita tidak dapat hendak lari dari semua ketentuan Allah. Allah juga yang mengerakkan aku dan suami supaya berhijrah ke Pahang, tempat orang. Tetapi bagiku walau di mana sekali pun aku berada, tanah kampung di mana tumpahnya darahku tidak akan dilupakan. Di Besut sana, ramai rakan-rakanku dan sanak-saudara. Sekali-sekala aku, suami dan anak-anak pasti berkunjung bagi mengubat rindu.

-- Akan bersambung.

Sebelumnya:
(1) Agungnya CintaMu Tuhan
(2) Agungnya CintaMu Tuhan

(3) Agungnya CintaMu Tuhan

Agungnya CintaMu Tuhan (4)
Agungnya CintaMu Tuhan (5)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: