Walaupun menerima kekalahan di benteng Konstantinopel pada tahun 678, kerajaan Khalifah Umayyah tidak berhenti dalam mengusahakan cita dan cinta menakluk Byzantine. Oleh sebab itu, empat dekad kemudian, dengan keadaan yang telah berubah dalam Empayar Byzantine, kerajaan Islam mengerakkan kepungan kedua ke atas Konstantinopel.
Tempoh yang mendahului pengepungan ini adalah era kecamuk dan sukar melingkari Empayar Byzantine. Tempoh tersebut adalah masa gelap bagi mereka apabila empayar kehilangan kekuatan dan tenggelam dalam siri peperangan saudara yang membinasakan pemerintahan.
Walaupun demikian, semasa Maharaja Anastasius memerintah, beliau menyedari usaha pengembangan armada laut kerajaan Islam yang berpusat di Damaskus. Justeru itu, beliau menghantar utusan bernama David menemui Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.
Maharaja Anastasius berkata, “David, kamu pergi berbincang dengan Khalifah Islam itu. Tawarkan perdamaian sementara dengan beliau. Namun dalam masa yang sama tugas utama kamu ialah menyiasat kekuatan sebenar armada laut mereka. Harus sangat berhati-hati. Beta tidak mahu hasrat ini terbocor.”
“Saya memahaminya, Tuanku,” jawab David akur.
“Dalam pada itu, bina kekuatan tambahan di sekitar tembok kota Konstantinopel. Kita mesti bersedia menghadapi serangan tentera Islam itu,” arah Maharaja Anastasius kepada ketua juruteranya.
Selepas beberapa lama semenjak menerima kedatangan David dan rombongannya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik memanggil mesyuarat di kota Damaskus. Beliau memulakan dengan berucap, “Segala puji bagi Allah, pemerintah alam dunia dan akhirat. Kini kerajaan Islam sudah dapat menandingi kekuatan kerajaan Byzantine dalam segenap segi.
“Syiar agama suci ini sudah menyeberangi lautan luas sehingga ke benua Indus dan Laut Tengah. Kemenangan kita sehingga ke Semenanjung Iberia juga sudah menakutkan pemerintah Byzantine. Kini usaha untuk membebaskan Konstantinopel semestinya dimulakan kembali. Pembinaan menambah kekuatan armada laut juga sudah hampir siap. Saya ingin meneruskan usaha sebelum ini.”
Khalifah memerhati semua yang hadir di balai penghadapan istananya. Kemudian beliau bertanya, “Apakah pandangan tuan-tuan yang budiman?”
Panglima utama tentera Islam, Maslamah bin Abdul Malik segera menjawab, “Kakanda Khalifah Sulaiman, pada hemat adinda, hasrat murni kakanda itu amat tepat sekali. Adinda dan para komander di bawah pimpinan bersedia memikul tanggungjawab murni ini.”
“Benar. Batalion berkuda bersedia menyahut seruan jihad ini,” jawab seorang komander tentera berkuda.
“Ya. Ya, kami bersedia,” kedengaran ramai suara orang lain, yang terdiri daripada komander perang dan ketua platun pasukan berperisai dan armada laut.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik bertanya kepada adindanya, “Apakah keadaan pemerintahan Byzantine sekarang ini?”
“Kerajaan Rom Timur sekarang ini di bawah pemerintahan Anastasius. Kesatuan mereka lemah justeru saling berebut takhta pemerintahan dalam beberapa tahun yang lalu. Dalam masa yang sama, terdapat seorang jeneral perang utama bernama Leo Isaurian. Beliau menguasai pemerintahan di Anatolia, dan sekali gus menjadi panglima dan raja di sana. Adinda sering berhubungan dengannya justeru beliau fasih berbahasa Arab. Pada pemerhatian adinda, kita boleh cuba memujuk beliau dalam cubaan kali ini.”
“Apakah maksud adinda?”
Sambil tersenyum Panglima Maslamah bin Abdul Malik menjawab, “Insya-Allah, adinda akan memujuk beliau supaya membantu tentera Islam. Kakanda doakan sahaja.”
“Andai demikian, bersegera mengadakan perbincangan dengan Leo Isaurian.”
Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment