BAB 6
Sempena cuti hujung minggu dan bersambung dengan cuti umum perayaan Tahun Baru Cina, Zamri memutuskan untuk pulang ke kampung bagi berehat dan melepas rindu kepada ibu dan ayahnya.
“Zainal, aku ingin pulang ke kampung selama lima hari. Aku rindu dengan kedua orang tua aku. Kau mahu ikut aku?” soal Zamri semasa berbaring di tingkat atas Masjid al-Hidayah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Masa itu sebahagian besar jemaah sudah keluar dari masjid setelah usai solat Jumaat.
Sudah menjadi kebiasaan kepada mereka berdua dan beberapa pelajar lain untuk bermalas-malasan seketika di tingkat atas masjid tersebut. Lagi pun pada sebelah petang Jumaat mereka tiada kulih atau sesi tutorial untuk dihadiri.
“Terima kasih, Zamri. Aku tidak boleh mengikut kau balik ke Jerantut kerana aku juga ingin pulang ke kampung aku di Arau, Perlis,” balas Zainal yang berbaring di sebelah Zamri. Matanya dibuka selajur memandang Zamri yang memejamkan matanya sambil terlungkup.
“Kau okeykah, Zamri? Aku lihat kau nampak keletihan,” soal Zainal setelah terpandang keadaan sahabatnya.
“Kepala aku pening sedikit. Tetapi kau jangan risaulah, sebelum tiba di masjid tadi aku sudah menelan dua biji ubat,” jelas Zamri membuka matanya. Dia tersenyum kepada Zainal yang masih memandangnya. Zamri tahu bahawa sahabat karibnya itu mengambil berat akan dirinya.
“Kalau begitu baguslah. Aku bukan apa, risau. Maklumlah kau perlu memandu selama beberapa jam dari sini sebelum tiba di rumah di Jerantut, Pahang. Bukankah selama lebih kurang lapan jam pemanduan?” Soal Zainal pula.
“Ya. Jangan risau, insya-Allah aku tidak apa-apa. Kalau aku penat, macam biasalah, aku berhenti di hentian sebelah atau hentian rehat di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur.”
“Okey. Jom kita balik ke apartment untuk bersiap. Aku menumpang seorang kawan untuk pulang ke Perlis. Lagi pun kau juga akan balik ke Pahang petang ini, bukan?” Zainal berkata sambil menepuk bahu Zamri. Mereka berdua bangun hampir serentak.
Zamri bertolak pulang ke kampung jam 3.05 petang. Dia berhenti di hentian sebelah Parit Buntar, Perak, bagi menunaikan solat Asar. Perjalanan diteruskan. Selepas waktu Maghrib, sekitar 7.25 malam, Zamri yang masih meneruskan pemanduannya berasa denyutan di pelipis kanannya. Dia tidak mengendahkan serangan sakit kepala tersebut. Namun situasi menguap yang sudah beberapa kali terjadi menyebabkan dia berasa perlu berhenti sebentar. Sebaik melihat papan tanda hentian rehat Rawang, dia terus membelok ke kiri. Kereta dipakir sejurus tiba di petak kosong. Melihat jam di pergelangan tangan, jarum sudah menunjukkan hampir pukul 7.45 malam.
Zamri terus ke bilik air untuk membuang hajat. Seterusnya dia ke surau bagi melaksanakan tuntuan wajib bersolat Maghrib dan Isyak sekali gus. Dia mengamalkan kemudahan dalam Islam dengan mengumpulkan doa solat dalam satu masa. Selepas solat, Zamri berehat di satu bangku yang disediakan. Menikmati awal malam di lebih raya. Jalan memang sibuk dengan kereta bertali arus. Mujur kesibukan umat Malaysia balik kampung tidak menyesakkan sangat lebuh raya. Jalan lancar walaupun sesak sedikit setiba di setiap pintu masuk ke tol.
Hilang sedikit denyutan di kepalanya tadi. “Ya Allah, permudahkanlah perjalanan hambaMu ini di sepanjang pemanduan ke rumah orang tuaku. Hilangkanlah sakit kepala aku ini,” doa Zamri memohon belas kasihan Allah di dalam hati.
Pemanduan yang lama tersebut menjadikan tubuh badan Zamri lesu. Beberapa lokasi hentian rehat di sepanjang Lebuh Raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur menjadi lokasi Zamri merehatkan badan seterusnya. Denyutan di kepalanya semakin menjadi-jadi apabila jarak perjalanannya semakin hampir tiba di rumah orang tuanya. Zamri mengagahkan diri memandu kereta Kancil. Dia memasuki tol Bandar Jengka, Pahang. Sebaik sahaja memasuki jalan yang di sebelah kiri dan kanannya dihampari pokok kelapa sawit, suasana pemandangan diterjah kabus. Pemanduan menjadi agak sukar. Dengan penuh berhati-hati dan agak perlahan, Zamri meneruskan pemanduan. Jam sudah pukul 10.45 malam.
Zamri tiba di rumah ayah dan emaknya sekitar jam 11.45 malam. “Assalamualaikum, emak, ayah!” salam kesejahteraan untuk kedua orang tuanya dilaungkan agak mendatar. Dia kelesuan.
“Alaikumsalam warahmatullah,” kedengaran suara emaknya menyambut salam dari dalam. Selajur itu juga bahagian hadapan rumah terang dengan sinaran lampu kalimantang.
Wajah yang dirindui Zamri muncul sebaik sahaja pintu utama hadapan rumah dibuka. “Mengapa lambat sampai? Emak dan ayah tunggu kamu sejak usai Isyak tadi. Telefon kamu pula tidak dapat dihubungi,” Mek Yah, emak Zamri bertanya lancar sambil memandang wajah anaknya.
“Maafkan kita, emak. Kita banyak berhenti rehat di sepanjang perjalanan,” jawab Zamri lesu lantas mencium tangan dan memeluk emaknya.
“Eh, Zamri! Badan kamu panas. Kamu tidak sihatkah?” Mek Yah bertanya. Raut mukanya kerisauan sambil memandang tepat ke mata Zamri.
“Pening kepala,” jawab Zamri ringkas.
“Kalau begitu, pergi berehat dan tidur dahulu. Emak sudah kemaskan bilik kamu. Esok kita sambung cerita,” ujar Mek Yah sambil mengambil beg Zamri dan dibawa ke ruang dalam rumah.
-- Akan bersambung.
Sebelumnya: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (5)
*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment