Jun 11, 2011

Semurni Suara Alam (5)

BAB 5

Lantaran kesibukan bagi persediaan peperikasaan SPM, Amin dan Khairul tiada masa lagi bersantai di tepi kolam yang dihuni dua kuntum teratai yang tetap mekar dan setia menunggu di tengah kolam. Justeru sudah agak lama mereka tidak mengunjungi tepian kolam itu, maka si Teratai Besar dan Teratai Kecil berbual-bual akan perihal mereka.

“Hai si Kecil, adakah sudah tiada orang yang mahu menziarahi kita lagi? Amin dan Khairul juga sudah lama tidak nampak batang hidungnya. Mungkin sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan penting itu,” keluh Teratai Besar.

“Tinggallah kita ini sunyi di kolam. Tiada orang yang datang memuja dan bercakap-cakap mengenai kita lagi,” sambung Teratai Besar sambil matanya memandang di sekeliling kolam yang luas yang manjadi penyeri pinggir hutan.

“Alahai, si Besar ini! Bukankah kita memang sentiasa kesunyian? Kehidupan kita memang di sini, sepi dan hening. Sekali-sekala kalau ada orang mengunjungi kolam ini, itu suatu bonus untuk kita,” jelas Teratai Kecil agak kedewasaan tingkahnya.

“Saya bukan apa, Teratai Kecil, saya suka mendengar celoteh dan isi perbualan mereka berdua. Banyak ilmu yang dapat dikongsi. Kita sudahlah diciptakan sebagai bunga teratai, mahu juga mengetahui ilmu-ilmu terkini mengenai dunia kemanusiaan,” tingkah Teratai Besar memahami keadaan semula jadi bunga teratai diciptakan Tuhan.

“Teratai Besar! Teratai Besar! Cuba awak lihat kayuhan basikal di hadapan sana. Itu bukankah sahabat karib Amin dan Khairul?”

“Ya. Itu memang mereka. Alhamdulillah. Dapat juga kesunyian di sini sirna dengan kehadiran mereka.”

Amin dan Khairul memakir basikal mereka di lokasi biasa, di bawah pohon rendang. Mereka melepaskan lelah sebentar sambil menghirup udara bersih dan nyaman di situ. Amin menarik nafas perlahan-lahan dan dalam. Khairul juga berbuat demikian. Mereka mengucapkan syukur ke hadrat Allah. Alhmdulillah!

“Saya risaulah, Amin. Takut sekiranya keputusan peperiksaan SPM nanti tidak bagus. Lagi saya bimbang andai gagal,” Khairul memulakan bicara.

“Ya Allah! Apa yang awak risaukan sangat. Bukankah awak katakan pada saya dahulu bahawa awak dapat menjawab semua subjek dengan baik?”

“Memanglah saya pernah katakan demikian. Tetapi saya risau juga.”

“Awak jangan bimbang, Khairul. Kita masih ada masa kira-kira dua bulan lagi sebelum keputusan diumumkan. Sekarang ini apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Ingat doa dan mengharap dari Tuhan amat disukaiNya. Tuhan amat suka sekiranya hamba-hambaNya sentiasa mengharap bantuan dan kasihan belas dariNya,” jelas Amin memberi motivasi kepada semangat sahabatnya yang seakan-akan luntur.

Tiba-tiba suasana hening di dalam kolam diganggu oleh deburan dan kocakan air. Seekor ikan besar melompat-lompat di antara bunga-bunga teratai. Percikan air akibat ulah ikan besar itu mengenai kelopak dan bahagian lain bunga teratai. Kedua-dua Teratai Besar dan Kecil terkejut dari kelekaan mereka mendengar perbualan Khairul dan Amin.

“Siapa pula yang suka membuat kacau di sini? Menganggu orang mahu berehat sahaja,” keluh Teratai Kecil agak jengkel.

“Alah, si Kecil. Itu si ikan Kaloi punya angkara,” jawab Teratai Besar tersenyum riang sambil cuba mengibas-gibas kelopaknya dari air percikan ikan kaloi tadi.

“Assalamualaikum, si cantik manis berdua. Saya datang ini ingin mengejutkan kalian berdua yang sedang kesepian tadi. Maaf agak terlambat. Saya pun ingin berbual-bual juga bersama awak,” kata ikan Kaloi bergurau-senda.

“Apa yang sedang awak fikirkan? Oh ya! Agaknya awak memikirkan manusia bernama Amin dan Khairul itu, bukan? Bukankah dia orang sedang memerhatikan awak berdia sejak dari tadi? Sekarang ini mungkin mereka geram pula dengan ulah saya,” senyuman ikan Kaloi besar itu semakin melebar mengusik Teratai Besar dan Kecil.

Seterusnya si ikan Kaloi bertanya, “Ke mana mereka pergi kerana sudah lama mereka tidak ke mari?”

“Amin dan Khairul baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Mereka lama tidak datang ke sini kerana mengulangkaji pelajaran membuat persediaan. Eh! Bagaimana awak tahu akan ketidakdatangan sahabat berdua itu, Kaloi?” jawab Teratai Besar sambil bertanya kepada ikan Kaloi yang berenang-renang di sekeliling Teratai Besar dan Kecil.

“Saya sentiasa ada di dalam kolam ini. Bukankah kolam ini besar dan dalam. Jadi saya sentiasa berlegar-legar ke sana dan ke sini. Segala peristiwa di dalam dan di sekeliling kolam ini saya tahu,” kata ikan Kaloi tatkala dia melompat lagi. Kali ini tinggi dari sebelumnya mengakibatkan alunan air sampai ke tepi di mana Amin dan Khairul sedang leka memerhati ulah ikan itu.

“Kaloi, awak kemari dekat saya sekejap,” ajak Teratai Kecil menggamit Kaloi. Ikan Kaloi pun menuruti gamitan Teratai Kecil sambil berenang-renang di sekitar akar bunga teratai tersebut.

“Gelilah, Kaloi! Jangan awak bermain-main dengan akar saya,” gelak Teratai Kecil sambil mengoyang-goyang badannya.

“Apa awak katakan tadi, Kaloi? Awak mahu menghiburkan kami berdua? Apa caranya?” soal si Teratai Kecil.

“Kalau awak membuat kacau bolehlah, Kaloi. Itu tadi, sedang kami asyik mendengar celoteh Amin dan Khairul, awak datang mengacau sahaja,” Teratai Besar mencelah.

“Hahahaha. Kalau saya tidak berbuat demikian, pastinya suasana kolam ini tidak meriah,” kata ikan Kaloi menyakat lagi.

Si ikan Kaloi terus berenang-renang di dalam air yang jernih itu sambil mengusik dua kuntum teratai yang tetap cantik mengembangkan kelopaknya yang putih kehijauan.

“Sungguh cantik si bunga teratai. Wajahmu semurni alam maya ciptaan Tuhan,” si ikan Kaloi bernyanyi riang. Tersenyum simpul kedua-dua bunga teratai.

Lama juga ikan Kaloi di situ. “Wahai bunga teratai pujaan hatiku! Sudah lama saya di sini. Biarlah saya mengundur diri dahulu. Maafkan saya sekiranya saya menganggu awak berdua.” Sebaik berkata begitu, ikan Kaloi membuat lompatan terakhir lalu terus menyelam ke dasar kolam. Sekali lagi percikan air menyirami badan Teratai Besar dan Kecil.

“Nakal betul si ikan Kaloi besar itu. Suka mengusik kita berdua,” kata Teratai Kecil.

Amin dan Khairul pun turut beredar dari situ setelah asyik memerhati ulah si ikan Kaloi tadi. Mereka turut terhibur.

--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

Semurni Suara Alam (4)

P/s: Saya bersedia menerima kritikan, insya-Allah :-)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: