Jun 21, 2011

Semurni Suara Alam (6)

BAB 5

Seminggu selepas itu, datang seorang teruna yang raut wajahnya keruh. Dia melangkah longlai menuju ke tepi kolam yang redup dilindungi jajaran pepohonan di sekitarnya.

Lalu si Teratai Besar berbisik, “Wahai Teratai Kecil, ada orang baru datang ke tempat kita ini. Lemah longlai sahaja tampaknya. Apakah tujuan dia mampir ke sini? Agaknya pemuda ini lari dari kesibukan dunia yang serba mencengkam? Mungkin dia datang ke sini justeru mahu melepaskan lelah dan sesak yang bersawang di dada,” Teratai Besar mengajukan banyak andaian.

“Sahabatku Teratai Besar. Bila berehat di sini, insyaAllah kekusutan fikirannya akan terurai,” Teratai Kecil mencelah bersikap positif.

Pemuda tersebut duduk termanggu di hadapan kolam yang terbentang sehingga hampir ke permulaan hutan di hujung sana. Di kejauhan yang ternampak oleh mata, terdapat beberapa juntaian pepohonan rendang mencecah gigi air. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Lembut dan menyamankan. Matahari baru tinggi segalah di langit maya.

Mata pemuda itu tertumpu ke tengah kolam. “Oh Tuhan! Betapa nyamannya suasana di sini. Udara sejuk. Hatiku tenang bagaikan setenang air jerneh di kolam besar ini,” pemuda itu meluahkan kata-katanya sendirian.

Terpandang bunga teratai. “Wah! Cantiknya bunga teratai itu. Satu kecil dan satu besar. Yang besar itu berkembang lebar. Kelopaknya putih kehijauan lembut. Wahai bunga teratai! Sungguh anggun tampakmu. Tidak seperti bunga-bunga lain yang ada di persekitaran ini. Aku terpesona dengan keanggunanmu yang dicipta Tuhan,” puji pemuda itu bersungguh-sungguh.

Pemuda itu berkata lagi, “Kamu ibarat seperti seorang gadis tercantik di dunia. Kalaulah kamu seorang gadis, pastinya ramai jejaka yang terpikat. Segala puji untuk Tuhan yang menciptakan kamu seindah ini. Semoga kamu tidak diganggu oleh sesiapa.”

“Hei, si kecil! Saya berasa sungguh seronok. Sesiapa yang datang ke sini selalu memuji kita berdua. Betuah sungguh kita ini, ya?” Teratai Besar terharu dengan pujian si pemuda itu.

“Wahai pemuda! Terima kasih kerana memuji kami berdua. Kami bersyukur kepada Tuhan dengan ciptaan yang sempurna ini. Walaupun banyak pujian sekian kalinya, saya akan tetap mengembalikan segalanya ke hadrat Tuhan yang Maha Pencipta. Terima kasih, ya Tuhan,” puji Teratai Besar seterusnya.

Pemuda itu bernama Ahmad Shah. Dia bertugas di sebuah pejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Sudah hampir tiga jam dia memandu ke arah timur. Dia ternampak satu laluan di perjalanan ke arah Kuantan menggunakan jalan lama sebaik sahaja membelok ke arah susur keluar ke Bandar Pusat Jengka, Pahang. Lalu di situlah dia cuba mencari sedikit kerehatan. Di tepian sebuah kolam di tepi hutan kecil.

Di dadanya sarat keributan. Keributan di tempat kerjanya. Setibanya di kolam itu, sedikit sebanyak fikirannya dapat ditenangkan. Hilang segala hiruk pikuk kota raya yang membingit. Kebisingan yang menyesak segala rongga. Tibanya ke tepian kolam itu buat pertama kalinya. Pada mulanya dia tidak menyangka bahawa kawasan perkampungan terpencil itu ada sebuah lokasi perehatan yang nyaman dan teduh.

Ahmad Shah berada di situ sejak pukul 10.00 pagi lagi. Sebaik sahaja masuk waktu sembahyang Zuhur, dia mengambil wuduk di gigi air kolam yang jerneh itu. Di saat itu, dia menyorot akan teratai di tengah kolam. “Alhamdulillah,” katanya perlahan kepada dirinya sendiri.

Usai bersolat beralaskan sejadah yang dihampar di atas sekeping tikar getah yang sering dibawanya bersama-sama, dia bermunajat. Di persekitaran hening dan teduh itu, dia bercakap-cakap dengan Tuhan yang Esa. Saksinya ialah para kehidupan di kolam itu, terutamanya si Teratai Besar dan Teratai Kecil.

“Ya Allah, letakkan dunia di tanganku, bukan di hatiku. Ampunkan dosa-dosa aku ya Rabb. HambaMu ini tidak akan berdaya menempuh badai tanpa bantuan dan cintaMu.

“Aku bukanlah insan kamil. Juga amat sedikit amalku untuk syurgaMu. Lantaran malu sungguh aku mengharap indahnya syurga abadi. Mendambakan syurgaMu, sedang ibadatku jauh terpencil. Ya Allah, namun memang itu sifatMu, wahai Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, maha segala. RedaMu pada hamba tiada bertepi tiada berakhir. RahmatMu alam cakerawala tidak sanggup menampungnya. Itulah diriMu ya Tuhanku yang Maha Mendengar.

“Dengan rahmat Tuhan aku berharap. Dengan cinta kasih Rabbi aku memohon. Tidak selayaknya aku ke syurgaMu. Namun aku amat takut akan siksaMu yang amat pedih. Ampunkan aku ya Allah, hambaMu bermunajat. Sesungguhnya hanya Engkaulah Pengampun semua dosa. RedaMu tetap kucari, tetap kuharap, kudamba.

“KeranaMu Tuhan, aku kehilangan teman. KeranaMu Tuhan, aku keseorangan. Pasrah hatiku menerima takdirMu. Kerana Engkaulah Pengatur segala. Kudambakan diri kepadaMu Tuhan. Redalah aku dalam dakapanMu Tuhan. Terimalah taubatku Tuhan. Tuhan, Engkau Maha Pengasih, RahmatMu Amat Luas. Dalam gundah kusujud padaMu. Dalam resah aku berdoa padaMu. Dalam syahdu aku bermunajat padaMu. Ampunlah dosaku ya Tuhan. Amin ya Allah ya Rabbal ‘Alamin.”

Kedengaran esakan di tengah kolam yang bening. Ya, si Teratai Kecil dan Teratai Besar menangis mendengar rintihan si pemuda itu. Sungguh sayu dan syahdu. Setidak-tidaknya mereka tahu bahawa keheningan persekitaran yang sudah didiami oleh mereka sejak sekian lama menjadi lokasi seorang manusia bermunajat kepada Tuhan yang Maha Mencipta. Setinggi-tinggi kesyukuran mereka berdua, si Teratai Kecil dan Besar, dilafazkan ke langit nun jauh di sana.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

Semurni Suara Alam (4)
Semurni Suara Alam (5)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

** Saya pengusaha bisnes katering Lusiana Catering. Buku saya berjudul Buat Duit dengan Katering diterbitkan oleh PTS Professional Sdn. Bhd. berharga RM14 sahaja.

3 comments:

salmi said...

takde sambungan ke?

salmi said...

harap maklumkan sy sambungannya

Web Sutera said...

Terima kasih sdr. Salmi kerana mengikuti siri cerita ini. Mungkin ada sambungannya, insya-Allah. Doakan saya supaya Allah turunkan ilham-Nya.