“Saya sedar sudah banyak perubahan sejak akhir-akhir ini,” kata Grisham Gale.
“Maksud kamu, Grisham?” Soal Mavi Mirza.
Grisham Gale mengeluh. Nampak riak wajahnya sedikit berserabut. Dia tidak suka akan apa yang sedang melingkari kerajaan Utsmaniah sekarang.
Mereka berdua berada di sebuah kafe di Haydarpaşa, sebuah hub pengangkutan utama di Istanbul. Pembinaan bangunan utama di situ kini mamasuki fasa-fasa terakhir.
Grisham Gale mengimbau kembali sejarah pembinaan stesen penting ini. Selepas melengkapkan rangkaian jalan keretapi melalui Anatolia, Sultan Abdulhamid II berucap, "Saya membina landasan keretapi dan bangunan untuk pelabuhan ini, tetapi ia masih tidak cukup. Kita akan membina sebuah bangunan yang akan menunjukkan kebesaran apa yang kita lakukan; ‘Haydarpaşa’.”
Atas permintaan Sultan Abdul Hamid II, pembinaan bangunan Haydarpaşa telah dimulakan oleh dua ahli seni bina Jerman, Otto Ritter dan Helmuth Conu pada tahun 1906. Semasa pembinaan, kemahiran pengukir Itali dan Jerman digabung jalin secara saksama. Justeru terbinalah gaya seni bina neo klasik Jerman.
Nama bangunan ini diberikan oleh Sultan Salim III. Beliau telah menghabiskan banyak masanya untuk membina ibu pejabat pasukan tentera Salimiye dan beberapa seksyen Haydarpaşa memahatkan nama beliau sebagai memperingati usaha gigih itu. Selepas beberapa ketika, pihak berkuasa memutuskan untuk memberi nama Haydarpaşa kepada keseluruhan kompleks bangunan.
Grisham Gale memandang sahabatnya itu, lalu berkata, “Saya bimbang dengan beberapa perjanjian, salah satunya ialah pada awal bulan Jun lalu. Perjanjian itu saya tidak suka justeru ia bakal mencetus konflik. Apa perlu Turki Muda, England dan Rusia kononnya berganding bahu melaksanakan program reformasi di Macedonia? England dan Rusia, kami jarang bersetuju dalam banyak perkara, tetapi kini bergabung tenaga? Ada udang di sebalik batu, Mavi.”
Mavi Mirza mengukir senyum. Dia sudah lama mengenali hati budi lelaki Inggeris di hadapannya; seorang perisik tentera yang tidak menyebelahi sangat akan kebanyakan kebijakan politik England dan negara-negara Eropah di Turki.
“Jarum Zionis,” getus Mavi Mirza.
Grisham Gale mengangguk, kemudian berkata, “Sebelum ini Konstantinopel tiada jalan rel, jadi pada tahun 1871 Sultan Abdul Aziz mengarahkan landasan kereta api yang akan dibina dari Haydarpasa menuju Izmit. Stesen indah ini dibuka pada tahun 1872 di masa keretapi sudah merentasi sehingga ke Gebze. Bersebelahan dengan Selat Bosphorus, Mavi. Justeru sibuk dengan keretapi barang memunggah di dermaga Haydarpasa, kemudian dipindahkan masuk ke dalam kapal laut.”
Pemerhatian dan maklumat yang dibentangkan Grisham Gale jitu.
“Ah, kamu sahabat. Memang seorang pengumpul maklumat,” tukas Mavi Mirza.
“Bukankah itu tugas seorang perisik seperti Kapten Grisham Gale ini?” balas lelaki Inggeris itu agak sinikal dengan tugasnya sendiri.
“Apa yang kamu dapat simpulkan dari foto-foto Raja Edward dan Czar Rusia?”
“Kamu fikir Sultan Abdul Hamid tidak bimbang dengan salam erat penuh gaya di antara Czar Rusia dengan Raja Edward? Namun pasukan tentera sebenarnya yang menjadi masalah. Konon pihak antarabangsa ingin menjadi juara dalam meredakan isu pemberontakan di Macedonia! Saya percaya Sultan tidak bodoh!” tegas Grisham Gale bagi menjawab persoalan rakannya.
Mereka terus berbincang dan masing-masing meluahkan buah fikiran. Gejolak jiwa menjadi pemandu dalam mentaakul suasana.
Aktiviti di dermaga semakin perlahan apabila masa menghampiri solat Maghrib. Sang mentari semakin memasuki ruang peraduan yang diciptakan Allah. Tidak lama lagi azan akan berkumandang menerobos di segenap ceruk kota Konstantinopel yang semakin hangat dengan desiran wap panas yang dicetuskan oleh ejen-ejen Zionis Yahudi.
Berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Foto: Stesen Haydarpaşa moden.
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera.
** Siapa Web Sutera? Sudikan klik di sini.
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera.
** Siapa Web Sutera? Sudikan klik di sini.
0 comments:
Post a Comment