Jul 23, 2012

Perang Konstantinopel (9)

Tahun 802 – 806, Khalifah Harun al-Rashid dan Maharaja Nikephoros I

Di istana Khalifah Harun al-Rashid, kota Baghdad


Khalifah Harun al-Rashid selepas menelaah beberapa buah catatan berupa ilmu dalam bidang syariah Islam dan bait-bait puisi, beliau bertemu dengan pegawai baitumal. Tujuannya ialah bagi mengetahui kedudukan kewangan dalam wilayah-wilayah Daulah Abbasiyyah.

Pegawai baitumal itu memulakan laporannya dengan berkata, “Alhamdulilah. Amirul Mukminin, kemajuan tatacara kewangan semakin meningkat keberkesanannya pada zaman pemerintahan ayahanda tuan Khalifah al-Mahdi semenjak tahun 158 Hijrah. Jabatan Akauntan Negara yang ditubuhkan bertujuan mengawal akaun pungutan hasil dan perbelanjaan bagi setiap jabatan pemerintahan sungguh memudahkan urusan saya dan pegawai-pegawai lain yang diberikan amanah.”

“Saya bersyukur ke hadrat Allah dengan kemudahan yang dianugerahkan-Nya untuk kita,” ujar Khalifah Harun al-Rashid.

Pegawai itu meneruskan laporannya. “Amirul Mukminin, perbendaharaan negara semakin meningkat. Kemakmuran bertambah dan kebajikan penduduk juga turut diambil berat sesuai dengan saranan tuan. Buat masa sekarang ini, harta baitumal terdapat sebanyak 600 juta dirham.”

Segera Khalifah Harun al-Rashid turun dari kerusinya dan mengadap ke arah kiblat di kota Mekah. Beliau bersujud syukur. Perbuatan itu diikuti oleh pegawai baitumal tersebut.

Sebaik sahaja beliau menduduki semula ke atas kerusinya, Khalifah kerajaan Islam itu bertanya, “Bagaimana dengan keperluan pembelajaran rakyat?”

“Pihak kita sudah mengeluarkan banyak biasiswa kepada rakyat yang layak dan ingin melanjutkan pelajaran, Amirul Mukmini.”

“Saya bercadang ingin mendirikan Darul Hikmah iaitu sebuah perpustakaan awam dan menambah pembinaan sekolah rendah dan menengah. Apakah pandangan kamu?”

“Molek benar, Amirul Mukminin. Saya bersedia mengelolakan perbelanjaan berkaitan.”

“Berikan elaun yang lumayan kepada guru-guru dan mubaligh serta cerdik pandai yang terlibat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan kepada rakyat.”

Pegawai itu mengangguk dan kemudian membuat catatan.

Setelah selesai urusan dengan pegawai baitumal, Khalifah Harun al-Rashid mengimbau kembali era ayahandanya.

Pada masa Khalifah al-Mahdi, aktiviti perekonomian mulai meningkat di sektor pertanian melalui teknik-teknik terkini pengairan. Hasil mahsul negara berupa simpanan emas, perak, tembaga dan besi juga meningkat. Tidak terkecuali transit perdagangan di antara Timur dan Barat juga banyak membawa kemakmuran kepada Baghdad dan seluruh empayar Islam. Basrah menjadi pelabuhan penting.

Kota Baghdad muncul sebagai bandaraya terkemuka dunia, penuh dengan bangunan cantik, istana, masjid yang indah serta sistem jalan yang teratur. “Alhamdulillah,” ucap Khalifah Harun al-Rashid.

@@@@@@@@@

Pada awal musim panas tahun 803, Khalifah Harun al-Rashid menerima sepucuk surat dari Maharaja Nikephorus I. Beliau membacanya:

"Dari Nikephoros, Raja Yunani, kepada Harun, Raja Arab. Irene sudah tidak lagi berkuasa dalam istana dan berpuas hati dengan aturan beta. Dia telah membayar kamu wang yang sepatutnya kamu bayar berganda kepadanya. Ia sudah terjadi justeru kelemahan wanita. Dengan ini beta mahu kamu kembalikan apa yang sudah kamu ambil atau pedang bakal menjadi kata pemutus."
Raut muka Khalifah Harun al-Rashid berubah. Beliau memanggil menteri kehakiman dan berkata, “Saya menerima surat yang kurang sopan dari Nikephoros di Konstantinopel. Sila panggil pegawai kita untuk menyediakan surat balasan.”

Sebaik pegawai itu tiba, Khalifah Harun al-Rashid menyuruhnya menulis jawapan seperti berikut:

"Dari Harun, Amirul Mukminin, untuk Nikephoros petualang Yunani. Saya telah membaca surat kamu. Jawapannya adalah untuk mata kamu melihat, bukan untuk telinga kamu mendengar."
Menteri kehakiman dan pegawai itu memandang Khalifah. Menteri bertanya, “Apakah maksud Amirul Mikminin?”

Khalifah hanya tersenyum kemudian berkata, “Saya akan bincangkan nanti bersama majlis mesyuarat perang.”

Berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)


** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: