Feb 8, 2012

Semurni Suara Alam (7)

BAB 7

Tidak berapa lama kemudian, keputusan peperiksaan pun kelu
ar. Amin memperoleh kejayaan cemerlang dan ditawarkan ke kursus Matrikulasi di sebuah pusat pengajian di Melaka. Manakala Khairul terpaksa meneruskan persekolahan ke tingkatan enam lantaran keputusan peperiksaan SPM yang kurang cemerlang. Khairul bersekolah di sebuah sekolah berhampiran Maran. Mereka berpisah buat sementara waktu.

Pada musim cuti semester pertama, Amin pulang ke kampung. Sekali lagi mereka bertemu di kolam yang memiliki kenangan di sepanjang persahabatan mereka. Lokasi duduk juga seperti dahulu, tidak berubah.


“Selamat bertemu kembali, wahai teratai. Kami berdua berkunjung lagi ke sini setelah lama tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Aku terkenangkan kamu, wahai teratai. Aku tidak pasti dengan rakanku ini, Khairul.” Amin memulakan salam pertemuan dengan teratai yang sentiasa setia menunggu, sambil tersenyum memandang Khairul.

Si bunga teratai senang hati mendengar kata-kata Amin yang merinduinya. Suasana di sekitar kolam masih tetap sama. Tiada sebarang anasir yang menganggu-gugat ketenangan di situ. Si Teratai Kecil dan Teratai Besar tetap menjadi penyeri di tengah kolam. Hidup di atas air dan tiada orang yang tega memetiknya.

Mereka hidup segar bugar dengan ditemani rumpair dan pokok-pokok renek dan besar yang tumbuh di sekeliling kolam yang redup itu. Bunga teratai berdua itu ibarat tuan puteri kayangan, sedang di sekelilingnya ialah dayang-dayang yang menjaganya setiap waktu.

“Bagaimana keadaan kampung kita selama saya di Melaka, Khairul?” Tanya Amin setelah mengucapkan selamat bertemu kepada bunga teratai.

“Alhamdulillah. Semuanya dalam keadaan biasa. Cuma saya memang tidak ke sini sendirian semasa awak di Melaka. Terasa kekok pula sekiranya saya ke sini tanpa ditemani awak, Amin. Kita berdua sudah menjadi pengunjung setia ke sini. Yang hairannya tempat ini tetap seperti dahulu. Jarang kedapatan orang ke sini. Mungkin orang di sekitar sini menganggapnya suatu kawasan biasa. Justeru itu mereka tidak hairan. Mungkin sekali-sekala dikunjungi oleh pemancing ikan yang ingin mencuba nasib di kolam ini,” jelas Khairul berwajah ceria.

“Apa yang dapat kalau memancing di sini? Dengan air yang jerneh ternampak bayang, ikan pun takut dengan bayang-bayang kita,” tingkah Amin pula tertawa kecil.

“Eh, Amin. Bagaimana tempat baru di Melaka? Seronok?" Soal Khairul masih tersenyum.

“Pada mulanya saya rasa kekok juga. Maklumlah kali pertama meninggalkan keluarga dan kampung. Tetapi setelah beberapa bulan dan sesi kuliah bermula, saya sudah dapat membiasakan diri,” jawab Amin.

“Oh ya, Amin. Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih di atas tunjuk ajar subjek matematik ketika kita ingin menghadapi peperiksaan SPM dahulu. Kini, alhamdulillah, saya cukup seronok dengan matematik dan hilang sudah segala kesukaran bagi menjawab banyak masalah matematik. Saya kira, silibus matematik untuk STPM bersamaan dengan kursus Matrikulasi, bukan?”

“Memang sama, malah hampir semua buku teks dan rujukan matematik menggunakan buku yang sama seperti mana untuk pelajar-pelajar STPM. Tadi awak kata mahu kemukakan satu pertanyaan kepada saya mengenai Internet. Apa dia?”

“Okey begini. Mengikut pendapat media dan yang berlegar di kalangan pengguna Internet, dua ciri bahaya Internet yang paling utama ialah bahan-bahan lucah dan isu keselamatan. Kedua-dua isu ini dicanang sedemikian rupa sehinggakan ianya menjadi halangan utama kepada mana-mana pihak yang ingin menceburi perniagaan barasaskan Internet atau yang menggunakan kemudahan Internet sebagai saluran pemasaran dan jualan utama, dan seterusnya menceburi sepenuhnya konsep e-dagang.

“Saya keliru dalam isu ini kerana dalam masa yang sama pihak kerajaan mengiginkan supaya teknologi Internet diguna pakai secara menyeluruh,” Khairul melontar satu persoalan yang memang hangat sedang diperkatakan sekarang ini.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa medium Internet sekarang ini jauh lebih selamat dari urusan fizikal yang kita laksanakan seharian. Juga memang benar ianya tertakluk kepada beberapa langkah keselamatan yang mesti kita ambil dan jangan kita menjadi terlalu naïf dan bodoh. Sedangkan dalam masa yang sama, kita tidak menyedari bahawa bahan-bahan lucah yang berupa CD, VCD dan majalah serta buku lebih banyak menyediakan kandungan yang lebih menarik kepada pencarinya!” jelas Amin bersemangat.

“Setahu saya, memang wujud laman web yang selamat untuk dilayari oleh kanak-kanak dan menyediakan perlindungan sebaik mungkin dari bahan-bahan dan pihak yang tidak diperlukan. Secara umum, perlindungan ini jauh lebih berkesan daripada apa yang disediakan dalam surat khabar, pita audio dan video, radio, dan televisyen. Bukankah begitu, Amin?” Khairul melontarkan pesoalan.

“Memang benar, Khairul. Bagi isu keselamatan urusniaga pula, memang dewasa ini urusan dalam Internet lebih selamat dengan adanya pelbagai perisian dan kemudahan ciri keselamatan yang disediakan oleh laman-laman web terbabit. Sedarkah kita bahawa aktiviti pemalsuan dan kegiatan jahat dengan menggunakan kad kredit dalam Internet lebih selamat jika dibandingkan dengan pemalsuan wang kertas dan cek dalam dunia nyata?”

“Bagaimana?” soal Khairul ingin tahu lebih lanjut.

“Bagi kebanyakan orang, pembelian melalui telefon atau Internet dengan memberikan nombor kad kredit kepada kakitangan yang bertugas adalah berisiko tinggi dan sangat tidak selamat. Kenapa? Kerana mereka telah diberitahu sedemikian rupa.

“Tetapi orang yang sama membeli minyak, makanan, dan barangan lain dari kedai atau pasar raya dan memberikan kad-kad plastik untuk dimasukkan ke dalam mesin pembaca kad, yang mana salinan dibuat kepada pekedai, meminta tandatangan tuan punya dan menyimpan slip kad tersebut tanpa ragu-ragu. Tidakkah kita terfikir bahawa cara ini juga memungkinkan kad kita boleh disalah gunakan?” jelas Amin merungkai sedikit sebanyak permasalahan berkaitan.

“Jangan lupa mengenai aktiviti pengeluarkan tunai melalui mesin ATM, di mana ada orang berdiri berdekatan di belakang kita dapat memerhati dan membaca nombor PIN yang kita masukkan. Pastinya semua itu menjadi elemen penting untuk proses kecurian. Mengapa kita selalu menyalahkan Internet bila sahaja bercerita mengenai isu keselamatan urus niaga, padahal dalam masa yang sama ciri keselamatan yang lain tidak diendahkan.

“Kebanyakan kegagalan keselamatan boleh dikesan balik melalui kesilapan, rasuah dan korupsi manusia. Memang benar bahawa kecurian elektronik meningkat, tetapi ianya juga benar berlakunya kecurian keseluruhan mesin, seperti rompakan mesin ATM, rompakan semasa wang dipindahkan, pencabulan pejabat, rekod dan surat kertas.

“Jadi aspek bagaimana bahawa dunia Internet berbeza? Boleh dikatakan dari sudut skala dan keadaan yang tidak dapat dilihat. E-kerja sekarang ini mendominasi dunia membangun, dan jenayah secara umumnya ikut serta membangun. Justeru itu, kita sepatutnya mengambil langkah penuh berhemah, bukannya ditakuti dengan cerita-cerita pihak yang kurang berpengetahuan.

“Siapa sanggup membiarkan pintu rumah terbuka tanpa dikunci bila kita keluar? Ini juga benar bahawa kita tidak boleh membiarkan komputer kita terbuka kepada serangan atau kecurian melalui kelalaian kita tanpa menggunakan ciri keselamatan capaian yang sepatutnya,” panjang lebar Amin memberikan penjelasan.

“Oh ya! Terlupa pula. Apa sebab awak bertanya maklumat berkaitan isu keselamatan Internet ini. Awak mahu menulis artikelkah” soal Amin.

“Hahaha. Awak seperti dapat mencium apa sebenarnya kemahuan saya. Memang saya mencari bahan yang bersesuaian untuk menulis artikel bagi dihantar kepada satu majalah. Pihak editor sudah bersetuju menerima artikel saya nanti,” tersenyum Khairul dengan pertanyaan dari Amin itu.

“Oh! Patutlah awak bersungguh benar ingin mengetahui akan hal ini. Bagus! Ini suatu perkembangan yang baik,” jawab Amin memuji akan hasrat Khairul tersebut.

Amin meneruskan kata-katanya, “Khairul, awak mesti rajin menyelongkar berkenaan ciri-ciri atau teknologi terkini berkaitan Internet. Dalam masa yang sama jangan lupa mengupas dari sudut sosial. Terlalu banyak maklumat yang ada di berbilion laman web. Yang amat perlu ialah bagaimana kita mencari domain maklumat yang diperlukan.”

“Jikalau kita tidak pandai memilih, nanti kelemasan dalam lautan maklumat yang tidak terjangkau dalamnnya itu,” tingkah Khairul pula.

“Memang betul, Khairul,” akur Amin bersetuju.

Di tengah kolam, teratai kecil termanggu-manggu kebingungan mencerna isi perbincangan kedua sahabat baik itu. “Apa yang mereka bicangkan, Teratai Besar?” soal Teratai Kecil.

“Entahlah, wahai si Kecil. Saya pun kurang mengerti.” Teratai Besar tertawa besar sebaik sahaja memberikan jawapan kepada pertanyaan si Kecil.

Tatkala matahari sudah terpacak di atas kepala, Khairul dan Amin mengayuh basikal pulang ke rumah masing-masing. Si Teratai Besar dan Kecil juga sedang makan dengan enaknya di bawah pancaran matahari yang mula menyinar megah. Sinaran matahari memberi tenaga dan makanan kepada mereka berdua.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)
Semurni Suara Alam (3)
Semurni Suara Alam (4)
Semurni Suara Alam (5)
Semurni Suara Alam (6)

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: