Aug 14, 2012

Perang Konstantinopel (10)

Gunung Ledang, Melaka, tahun 1445 – 1456 Masihi

Mereka masih bertenggek di situ. Kab
us pula perlahan-lahan memasuki ruang atas kawah, kemudian bergerak menuju ke arah batu-batu di pinggiran, lokasi tenggekan mereka dua beranak.

“Ayah, ada orang kata Islam dikembangkan melalui mata-mata pedang? Betul atau sekadar omongan sang penjahat syaitan yang terdiri dari jin dan manusia?” Soal Sutan Gunung secara tiba-tiba. Topik berubah kini.

Ayahnya ketawa, kemudian berkata, “Ganas betul soalan kamu. Sang penjahat syaitan yang terdiri dari jin dan manusia."

Sutan Gunung juga turut ketawa. Bunyi ketawa mereka bergema ke seluruh kawasan kawah itu.

“Perang Badar tidak menjadikan Islam sebagai agama pedang. Maksud ‘Islam’ itu bermakna damai. Al-Quran menyatakan semua para rasul ialah manusia Muslim yang menganut Islam. Namun peperangan merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Adakalanya ia menjadi suatu kewajipan positif untuk mengakhiri penindasan, penderitaan dan onar jahat segolongan makhluk. Islam mementingkan keselamatan diri dan menghormati perjanjian,” kata Abdul Kudus.

“Tindakan Khalifah Harun al-Rashid pada tahun 806 Masihi?”

“Pada pertengahan tahun 805, Khalifah Harun al-Rashid pergi ke wilayah Khurasan, sebuah wilayah era Parsi di bahagian utara barat Afghanistan, bagi mengamankan masalah besar pemerintahan di sana. Pemergian Khalifah ke sana memberi peluang kepada Nikephoros I membuat onar kembali. Kali ini maharaja Byzantine itu membina semula benteng-benteng pertahanan kota di Safsaf, Thebasa dan Ancyra pada musim bunga 805. Pada musim panas berikutnya Nikephoros I bergerak ke selatan Asia Kecil menyerang sempadan kerajaan Islam di wilayah Cicilia.”

“Justeru serangan itu, pimpinan Islam mempertahankan kedaulatan wilayah dan nyawa penduduknya?”

“Ya,” jawab Abdul Kudus singkat, kemudian dia menyambung ceritanya, “Tentera Byzantine menyerbu wilayah sekitar kubu Mopsuestia dan Anazarbus, dan menawan penduduk sepanjang onar mereka. Garison pertahanan Mopsuestia menyerang balas pasukan Byzantine dan berjaya membebaskan banyak tawanan dan merampas kembali harta yang dirompak.

“Walaupun demikian, tentera Byzantine terus bergerak menuju Tarsus, sejarak lebih kurang 13 batu dari Laut Mediterranean. Titik itu terletak di pertemuan laluan darat dan laut yang menghubungi Cicilia, tengah Anatolia dan Laut Mediterranean. Tarsus telah dibangunkan oleh Khalifah Harun al-Rashid pada tahun 786 bagi menguatkan Islam di Cicilia. Tentera Byzantine merosakkan kubu bandar itu dan menawan semua garison tentera Islam.

“Pada masa yang sama, satu lagi pasukan tentera Byzantine menyerbu wilayah Islam di utara Mesopotamia, namun tidak berjaya mengepung kubu Melitene atau Malatya di tenggara Turki. Dalam masa yang sama juga mereka menghasut pemberontakan menentang Arab di Cyprus.”

Sutan Gunung mencelah dengan pertanyaan, “Bila Khalifah Harun al-Rashid mendapat khabar akan serangan tentera Byzantine itu, apa tindakan beliau?”

“Isk! Kamu ini tidak sabar-sabar. Adakah keturunan jin begitu?” Soal Abdul Kudus. Dia tersengih di akhir soalan tersebut. Sementara itu anaknya mengangguk, juga tersengih lebar bak kerang busuk yang terbuka kulitnya.

@@@@@@@@@@@

Tahun 806, perang Khalifah Harun al-Rashid dan Maharaja Nikephoros I

Setelah meredakan situasi di Khurasan, Khalifah Harun al-Rashid kembali ke barat pada bulan November 805 dan menyediakan ekspedisi balas yang besar dengan penyertan perajurit dari Syria, Palestin, Parsi, Mesir dan utara Afrika.

Musim panas tahun 806 tiba. Pada hari keberangkatan, satu angkatan besar hampir 200,00 tentera berkumpul di sebuah padang luas. Ini merupakan angkatan perang terbesar pernah disediakan oleh Khalifah Harun al-Rashid.

Khalifah Islam itu melaungkan takbir, “Allahu-Akhbar!”, yang kemudiannya seluruh tentera mengemakan laungan keramat itu. Bergegar bumi yang dipijak. Bergetar rumput-rumput di sekeliling padang besar itu.

Beliau menunggang kuda menaiki sebuah bukit yang agak tinggi dengan diiiringi oleh beberapa orang panglima utama. Semua tentera Islam mendiamkan diri, menunggu apa yang mahu diperkatakan oleh Khalifah.

Sebaik sahaja berada di atas tanah tinggi itu, Khalifah Harun al-Rashid berkata dengan lantang, “Wahai pemberani Islam yang saya hormati! Ingatlah sindiran Allah dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 75 yang berbunyi, ‘Dan apakah yang menghalang kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)’’.

“Saya mengingati diri sendiri dan kalian akan kata-kata Panglima Khalid bin Walid di saat-saat kematiannya. Beliau berkata, ‘Saya ikut berperang dalam banyak peperangan sehingga tidak satu pun anggota tubuh ini yang tidak terkena tusukan pedang atau anak panah. Namun saya tetap mati di atas tempat tidur. Sungguh, mata si pengecut tidak akan pernah dapat tidur.’

Beliau diam sebentar, memerhati reaksi bala tentera yang sedang berkumpul. Melihat mereka tetap ingin mendengar ucapannya, Khalifah berkata lagi, “Namun harus kalian ingat betul-betul akan peristiwa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang turut disertai oleh Rasulullah (SAW). Baginda mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil. Adakah kalian memahaminya?”

“Kami faham dan kami taat, Amirul Mukminin!” Jawab semua tentera Islam hampir serentak.

“Seterusnya dalam surah yang sama dalam ayat 78, Allah menyindir lagi, ‘Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.’ Maksud ayat-ayat Allah itu ialah kita dan musuh Islam akan tetap mati walaupun dalam benteng-benteng menjadi penghalang. Walaupun tentera penceroboh Rom berlindung dalam kota-kota kukuh mereka, kita tetap akan mengempur selagi mana mereka tidak ingin berdamai.”

Di akhir ucapannya, Khalifah Harun al-Rashid melaungkan “Allahu-Akhbar” dengan lebih nyaring. Kemudian sekali lagi bergema ulangannya di kalangan tentera Islam. “Allahu-Akhbar” menyusuri di antara setiap butir pasir dan tompok tanah yang dipijak. Ia menyelinap ke setiap aliran darah dan helaan nafas, demi sebuah misi jihad meruntuhkan perhambaan sesama manusia.

Khalifah turun dari tanah tinggi dan menghampiri setiap barisan tentera Islam.

Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)

Perang Konstantinopel (9)


** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: