Oct 23, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (15)

Ketibaan dua orang ulama ke istana Edirne disambut dengan salaman dan pelukan oleh Sultan Murad II. Beliau memegang tangan Syeikh Bayram sambil mengajak masuk ke dalam balai penghadapan yang sekali gus menjadi medan pengisian ilmu saban minggu. 

“Sila duduk, Tuan Syeikh berdua. Terima kasih kerana sudi menerima jemputan saya ke istana ini,” luah Sultan Murad II jujur.

Setelah duduk di atas tilam yang selayaknya untuk seorang ulama, Syeikh Bayram bertanya lembut, “Apakah hasrat Tuanku memanggil saya ke sini?”

“Saya menerima laporan yang kurang enak mengenai tuan-tuan berdua, mengenai ajaran Sufi yang diajarkan di madrasah di Ankara. Namun saya kurang percaya. Saya ingin tahu, apakah yang Tuan Syeikh ajarkan di sana?”

“Alhamdulillah,” kata Syeikh Bayram. “Tuanku seorang Sultan yang baik dan bercita-cita tinggi.”

Nampak kejutan di wajah Sultan Murad II mendengar luahan kata dari ulama itu. Beliau hanya tersenyum sambil pandangannya teralih kepada Syeikh Aaq Syamsuddin.

Syeikh Bayram menyambung, “Tuanku yang saya hormati, apa yang saya ajar ialah tidak lain daripada ajaran Islam yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasulullah Sallalahhu’alaihiwassalam. Islam membawa ajaran bagi memahami dengan jelas apa Tuhan itu sebenarnya dan apa misi manusia di bumi.

Islam, selain daripada aspek rohani, mengawal kehidupan harian rakyat serta pemerintahan. Islam melalui al-Quran, menawarkan alternatif baharu pengabdian dan bercerita mengenai mata benda. Islam menawarkan keEsaan Tuhan yang tunggal dan undang-undang abadi dalam bentuk syariah, dan objektif utamanya ialah membantu dan memperkasakan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan.

“Pendekatan Sufi menekankan unsur kerohanian sebagai satu cara untuk mengenal Allah. Dalam erti kata lain, penekanan baharu pada cinta kasih Tuhan yang membawa peralihan dari pertapaan kepada unsur mistik kejiwaan roh.

Sufi berhasrat untuk merealisasikan suatu keadaan di mana hamba berada dalam perhubungan langsung dengan AllahPersonaliti setiap individu manusia meninggalkan jasad, dan pendekatan Sufi bakal membawa roh menyerap ke dalam Zat Allah yang Maha Agung. “

Terluah kata-kata suci dari mulut Sultan Murad II di akhir penerangan ringkas itu. “Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu-Akhbar.”

Sultan yang berhati mulia itu terus bercakap dan bertanya tentang banyak perkara kepada kedua-dua Syeikh tarikat itu. Mereka larut dalam wacana ilmu yang mendapat naungan para Malaikat di langit.

Walaupun bertemu pertama kali, Syeikh Bayram dan Syeikh Aaq Syamsuddin menerima pujian, kasih dan penghormatan tinggi dari Sultan Murad II. Sultan Uthmaniah itu menyediakan waqaf, bangunan untuk mengajar tarikat dan ilmu keagamaan. Beliau mengakui akan alamat-alamat kewalian pada Syeikh Bayram.

Akhirnya Sultan Murad II mengajak kedua-dua Syeikh itu, “Tuan-tuan Syeikh yang disayangi Allah, saya memberi tauliah kepada tuan-tuan berdua untuk mengajar dan membaca khutbah di Masjid Muradiye dan Masjid Yeldrim Beyazid. Makmurkan kota ini dengan majlis-majlis ilmu. Sebarang bantuan yang dihajati, sila maklumkan kepada saya. Insya-Allah, saya akan sediakannya.”

@@@@@@@@@

Selain mendengar kuliah agama di masjid, pada lain ketika, Sultan Murad II mengajak sekali lagi kedua-dua ulama itu ke istana. Beliau ada perkara khusus untuk ditanya dan dibincangkan.

Sebelumnya Sultan Murad II mengingati pertama kali beliau berjumpa dengan Syeikh Bayram.

Saat Syeikh itu tiba di istana pada kali pertama, Sultan Murad II melihat wajahnya dan jelas bersinar seperti matahari di langit. Indah dan jelas. Ekspresi wajah, penampilan dan sikapnya semua molek. Keelokan terserlah semasa beliau berdiri, berbicara atau berjalan.

Sultan Murad II melihat refleksi kecantikan dalaman di wajahnya dan beliau mengerti bahawa mereka yang melaporkan sikap Wali Allah ini kepadanya salah. Beliau menunjukkan rasa hormat dan menerimanya sebagai tamu istimewa di istananya. Kemudian beliau sungguh tenang mendengar setiap tutur bicara ulama itu.

Kini tetamu istimewa itu berada di hadapan matanya sekali lagi, bersama muridnya Syeikh Aaq Syamsuddin. Sultan Murad II cukup senang, terpancar sinar gembira di wajahnya.

Sebaik duduk, Sultan Murid II terus kepada persoalan, “Tuan Syeikh yang dimuliakan, adakah hadis Rasulullah (SAW) yang mengatakan kota Konstantinopel akan ditawan oleh Islam di bawah raja yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik itu sahih?”

Syeikh Bayram menjawab "Demi Allah hadis itu sahih, Tuanku."

"Tuan Syeikh yang saya muliakan. Tuan seorang alim yang berada semasa pemerintahan Sultan Urkhan, Sultan Murad sebelum saya dan ayahanda saya Sultan Beyazid. Tuan sudah tahu akan usaha-usaha penaklukan sebelum itu juga. Saya pun pernah di tahun 825 Hirah cuba menawan kota itu. “

Sultan terdiam sebentar sebelum bertanya, “Mengapa saya masih tidak berjaya menakluk Konstantinopel? Adakah saya, tentera dan rakyat saya tidak layak?"

Syeikh Bayram tersenyum, kemudian dia bertafakur. Suasana sunyi dalam balai penghadapan istana itu.

Wali Allah itu memberi taakulannya, “Allah bentangkan dalam perancangan-Nya dengan rumusan bahawa kebenaran pasti menang, tanpa kita perlu ragui. Walaupun demikian, kemenangan harus dimulai dengan perjuangan yang berat, hatta sehingga nyawa melayang demi sebuah syahid yang mulia. Begitu juga dengan kemudahan pasti menjelma, tetapi kita mesti menyeberangi lautan kesulitan terlebih dahulu.

“Untuk diri saya sendiri dan Tuanku yang saya sayangi, harus difahami yang diutamakan dalam hidup ini ialah proses, bukan sekadar hasil. Maka yang lebih bermakna ialah perjuangan meraih keberhasilan, bukan hanya keberhasilan itu sahaja. Allah sudah tetapkan takdir yang keberhasilan itu pasti datang asalkan disertai dengan perjuangan dan bantuan Allah dari tawakal kepada-Nya.

“Tuanku, suka saya membaca ayat al-Quran dalam Surah al-Insyirah, ayat 5 – 6.”

Kemudian Syeikh Bayram membaca maksud terjemahannya, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Sultan Murad II lantas mengucapkan ucapan pohon keampunan, “Astaghfirullah,” berulang kali.

“Lantas apa hemat dan firasat Tuan Syeikh, bila dan siapakah yang dapat menakluk Konstantinopel?”

Syeikh Bayram terdiam. Beliau pejamkan mata, khusyuk meraih ilham Allah dengan kepala tertunduk.

Tidak berapa lama kemudian, Syeikh Bayram mengangkat kepalanya. Beliau memandang wajah Sultan di hadapannya dengan tersenyum manis, lalu berkata, “Allahu-Akhbar! Menurut firasat saya, bukan Tuanku yang dapat menakluk kota itu, tetapi putera Tuanku.”

“Ya Allah! Saya tiada anak lelaki lagi. Bagaimana?” Wajah Sultan Murad II penuh tanda tanya.

“Insya-Allah, Sultan, Tuanku akan dikurniakan seorang putera yang baik, beriman dan gagah.”

“Isteri saya hamil?”

Oct 19, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (14)

Pada 12 September 1396, Tentera Salib dapat melihat benteng Nicopolis yang berada di atas tebing curam batu kapur. Nicopolis yang terletak dalam kedudukan pertahanan semula jadi, adalah kubu kuat utama mengawal Danube dan laluan komunikasi ke kawasan pedalaman. Satu jalan kecil tersedia di antara jurang dan sungai. 

Manakala kubu ini ialah sebuah bandar berdinding dua, yang lebih besar terletak di atas tebing tinggi dan yang kecil di bawahnya. Lebih jauh ke pedalaman dari benteng kubu, tebing bukit miring curam ke dataran. Memang sebuah kubu perlindungan yang kukuh dan banyak bekalan.

Gabenor Nicopolis, Dogan Bey, melihat angkatan Tentera Salib dengan panji-panji salib berwarna hijau, merah, putih dan simbol salib saltire berbentuk pepenjuru. Dia berkata kepada beberapa orang pegawainya, “Saya yakin, dengan izin Allah, yang Sultan Beyazid akan tiba bagi membantu melindungi kota ini. Dalam pada itu kita siap siaga dengan segala kelengkapan perang yang ada.”

Di kem Tentera Salib segala persiapan disegerakan walaupun mereka tidak membawa mesin pengepungan khusus. Justeru itu di lokasi kem perkhemahan, mereka menyediakan banyak tangga bagi memudahkan pendakian ke benteng kubu. Senjata menjanik juga banyak dibawa bagi tujuan menghentam benteng-benteng kubu dengan batu-batu besar.

Seorang ketua platun tentera laut menyatakan pandangannya, “Aku yakin sekatan ini akan menyebabkan penduduk kota kelaparan. Mereka tidak akan dapat keluar melalui jalan darat dan air, justeru makanan dan bekalan senjata tidak dapat masuk tanpa diketahui oleh tentera kita.”

Rakannya mengulas setelah melihat segala persediaan angkatan Tentera Salib. “Aku juga yakin kepungan kubu ini akan berjalan lancar tanpa tentangan hebat dari tentera Islam. Ini hanya permulaan kepada tujuan utama kita, yakni membebaskan Konstantinopel dari kepungan Uthmaniah. Bagaimana pandangan kamu berkenaan bantuan tentera dari Sultan Uthmaniah itu?”

“Aku tidak takut justeru mereka tidak akan begitu cepat tiba ke sini.”

Nicopolis sudah dikepung selama dua minggu tanpa serangan. Kebosanan mula mengitari di segenap kem Tentera Salib. Bagi menghilangkan kebosanan itu, mereka berpesta, minum arak, bermain dan sekali sekala melakukan aksi provokasi menghina kehebatan pertahanan tentera Islam. Oleh kerana sibuk dengan pesta, mereka terlupa satu taktikal penting; pasukan sentri tidak disediakan.

Dalam tempoh ini, tentera di bawah pimpinan Sultan Beyazid I sudah melepasi Adrianopel dan kini meneruskan pergerakan melalui laluan Shipka di tengah Bulgaria menuju utara ke Tirnovo.

Raja Sigismund mengambil langkah bersendirian di ketika banyak kontijen Tentera Salib lain bersuka ria dengan menghantar 500 orang pasukan berkuda meninjau sekitar Tirnovo, 70 batu ke selatan.

Tidak berapa lama kemudian, pasukan peninjau Salib itu kembali. Komander pasukan memberi laporan, “Tuanku! Bala tentera musuh pimpinan Sultan Beyazid sedang berada di Tirnovo.”

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Oct 18, 2012

Slot bicara bersama penulis Galeri Ilmu: Hijab Raja Zulqarnain

Tuan-tuan dan cikpuan-cikpuan dijemput beramai-ramai datang pada hari Sabtu ini, 20 Oktober 2012, ke slot Bicara Bersama Penulis Galeri Ilmu iaitu penulis buku Alexander Agung: Hijab Raja Zulkarnain, Web Sutera.


Beliau akan membicarakan tentang bukunya pada jam 2 hingga 4 petang di MPH Subang Parade, Subang.

 ** Untuk mendapat info berkenaan buku ini, sila ke sini, insya-Allah.

Oct 13, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (13)

Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor 

Ustaz Zulqarnain bin Awang menjawab satu soalan dari seorang wanita berkenaan peranan Sultan Murad I dalam misi jihadnya.

“Sejak ibu kota Khalifah Uthmaniah dipindahkan ke Adrianopel yang kemudiannya diberi nama Edirne, gerakan jihad semakin giat ke benua Eropah. Dengan tertubuhnya pasukan elit tentera Islam Yeniseri yang dibentuk dari kalangan anak-anak ibu bapa Kristian yang gelandangan, Sultan Murad I menerapkan semangat cintakan Allah dan mati syahid. Pasukan ini bukan sahaja kuat dan ampuh, malah yang lebih utama ialah mereka memahami Islam dan sangat cintakan Allah. ............

@@@@@@@@@@ 

Perang Maritsa, 1371 Masihi

Sultan Murad I bertekad meneruskan agenda jihad yang dirintis oleh leluhurnya sebelum ini ke atas wilayah-wilayah Eropah. Tidak berapa lama kemudian, beliau berjaya menawan Macedonia, dan seterusnya kemenangan demi kemenangan membuatkan pimpinan gereja Kristian Barat gusar.

Pope Urban V di Rom berucap di gereja utama, “Nampaknya ancaman oleh Sultan Uthmaniah semakin mengugat survival agama kita. Justeru saya akan menyeru sebuah pakatan bagi berperang dengan tentera Islam. Saya akan pastikan tentera Serbia, Bulgaria, Hungari, penduduk Wallachia dan sekutu Balkan lain menganggotai Tentera Salib bagi menghancurkan kemaraan agama Islam ke Eropah ini.”

Tidak berapa lama kemudian, sebuah angkatan besar dibentuk dari ucapan berapi-api Pope Urban V itu. Pasukan Tentera Salib berjumlah 60 ribu kekuatan mula bergerak menuju Adrianople. Pada masa itu Sultan Murad I sedang memerangi tentera upahan Catalan dalam tentera Byzantine di Biga, sebuah bandar pelabuhan di pantai selatan bahagian Asia, Dardanella.

Sebaik menerima maklumat risikan, Panglima Lala Sahin Pasha yang berada di Adrianopel sebagai panglima Semenanjung Balkan memohon bantuan tentera dari Sultan yang berada di wilayah Asia Kecil.

Usai menghantar utusan menemui Sultan Murad I, Panglima Lala Sahin Pasha merancang strategi sebelum tentera bantuan tiba. Dia berkata, “Saya melantik Tuan Haji Ilbey sebagai komander pasukan pemantau. Selain memantau dengan ketat pergerakan musuh, pasukan tuan juga bertanggungjawab bagi melambatkan ketibaan mereka ke Adrianopel.”

Tuan Haji Ilbey mengangguk dan berkata, “Insya-Allah, saya akan mengetuai pasukan yang akan dibentuk dengan kadar segera.”

“Hari ini juga, Tuan Haji.”

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Oct 8, 2012

Perang Konstantinopel (12)

Pope Urban II di Majlis Clermont
Empayar Byzantine dan Perang Salib, 1204 Masihi

Walaupun kedua-dua belah pihak beragama Kristian, hubungan antara Empayar Byzantine dan kerajaan Rom Barat tidak mesra, malah dendam pihak di Itali itu semakin membara. Perdebatan yang memunculkan dendam kesumat antara penganut Kristian Timur dan Barat tidak kunjung damai.

Apabila Pope Urban II mengobar semangat Perang Salib yang kononnya bagi membantu saudara seagama di Konstantinopel, ramai juga warga di sana tidak menyenanginya. Bagi sebahagian penduduk Konstantinopel, Tentera Salib adalah satu ancaman baharu yang tidak boleh disokong. Mereka berkata, “Mereka keras kepala dan berwatak kejam.”

Walhal penyokong doktrin Salib di Rom Barat berkata, “Konstantinopel terlalu sombong dengan kemewahan, curang dan murtad!”

Dendam dan permusuhan tidak dapat disekat lagi. Justeru pembunuhan Latin, yakni pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran penganut Roman Katolik atau penduduk Latin di Konstantinopel oleh warga Ortodoks Timur pada bulan Mei 1182 mempunyai kesan dramatik pada hubungan tegang antara gereja-gereja Kristian Barat dan Timur.

Pembunuhan beramai-ramai itu juga memburukkan lagi imej Byzantine di kalangan kuasa atau pemerintah Barat. Walaupun perjanjian urusan perdagangan dimeterai tidak lama selepas itu antara Byzantine dan negara-negara Latin atau Rom Barat, permusuhan yang berakar sejak sekian lama kekal dengan ramai suku kaum Barat menyimpan dendam berdarah.


@@@@@@@@@@ 

Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor

Ustaz Zulqarnain bin Awang bercerita pada sesi kedua diskusi berkenaan usaha dan tanggungjawab Uthman bin Urtugrul. 

“Bagi pengawal ghazi perbatasan Turki, titik akhir rintangan di Anatolia dalam wilayah kekuasaan Byzantine ialah Nicaea, dengan tembok kota yang sukar didaki dan garison kuat pertahanan. Mereka juga tidak melupakan yang kota Nicaea adalah sebuah kota Islam di era kesultanan Saljuk.

“Pengambilan semula Nicaea untuk daulah Islam bagi para ghazi ialah tugas wajib. Sebaik sahaja kematian Maharaja Manuel I Comnenus pada tahun 1180, perebutan kuasa dalaman meletus dalam Empayar Byzantine. Tatkala beliau mengepung kota itu di tahun 1183, terdapat sekumpulan tentera upahan Turki yang membentuk satu bahagian garison pertahanan kota. Justeru kota terus kukuh.

“Apabila Maharaja Andronicus Comnenus menawan Nicaea kemudiannya, beliau menyula semua tentera bangsa Turki itu. Selanjutnya pada tahun 1299, Uthman bin Urtughul berazam untuk mengambil kembali wilayah Islam di Nicaea dan kemudian Bithynia serta Bursa. Misi Uthman ke atas kota-kota utama ini mendapat tentangan hebat dari bala tentera Byzantine yang dihantar dari kota Konstantinopel.

“Penawanan dua bandar itu akhirnya berjaya. Dengan mendapat mandat sebahagian besar suku kaum Turki yang pelbagai, Uthman bin Urtughul mengukuhkan kesultanan Uthmani yang dirintis sejak tahun 1299 dengan rakyat mengangkat beliau sebagai Sultan Khalifah Uthmaniah pertama.

“Sejak itu beliau menggariskan visi kesultanan yang dinamakan Impian Uthman, iaitu pembebasan Konstantinopel.”  

Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan 
Perang Konstantinopel (1) 
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)

Perang Konstantinopel (9)
Perang Konstantinopel (10)
 

  
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.