Oct 23, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (15)

Ketibaan dua orang ulama ke istana Edirne disambut dengan salaman dan pelukan oleh Sultan Murad II. Beliau memegang tangan Syeikh Bayram sambil mengajak masuk ke dalam balai penghadapan yang sekali gus menjadi medan pengisian ilmu saban minggu. 

“Sila duduk, Tuan Syeikh berdua. Terima kasih kerana sudi menerima jemputan saya ke istana ini,” luah Sultan Murad II jujur.

Setelah duduk di atas tilam yang selayaknya untuk seorang ulama, Syeikh Bayram bertanya lembut, “Apakah hasrat Tuanku memanggil saya ke sini?”

“Saya menerima laporan yang kurang enak mengenai tuan-tuan berdua, mengenai ajaran Sufi yang diajarkan di madrasah di Ankara. Namun saya kurang percaya. Saya ingin tahu, apakah yang Tuan Syeikh ajarkan di sana?”

“Alhamdulillah,” kata Syeikh Bayram. “Tuanku seorang Sultan yang baik dan bercita-cita tinggi.”

Nampak kejutan di wajah Sultan Murad II mendengar luahan kata dari ulama itu. Beliau hanya tersenyum sambil pandangannya teralih kepada Syeikh Aaq Syamsuddin.

Syeikh Bayram menyambung, “Tuanku yang saya hormati, apa yang saya ajar ialah tidak lain daripada ajaran Islam yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasulullah Sallalahhu’alaihiwassalam. Islam membawa ajaran bagi memahami dengan jelas apa Tuhan itu sebenarnya dan apa misi manusia di bumi.

Islam, selain daripada aspek rohani, mengawal kehidupan harian rakyat serta pemerintahan. Islam melalui al-Quran, menawarkan alternatif baharu pengabdian dan bercerita mengenai mata benda. Islam menawarkan keEsaan Tuhan yang tunggal dan undang-undang abadi dalam bentuk syariah, dan objektif utamanya ialah membantu dan memperkasakan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan.

“Pendekatan Sufi menekankan unsur kerohanian sebagai satu cara untuk mengenal Allah. Dalam erti kata lain, penekanan baharu pada cinta kasih Tuhan yang membawa peralihan dari pertapaan kepada unsur mistik kejiwaan roh.

Sufi berhasrat untuk merealisasikan suatu keadaan di mana hamba berada dalam perhubungan langsung dengan AllahPersonaliti setiap individu manusia meninggalkan jasad, dan pendekatan Sufi bakal membawa roh menyerap ke dalam Zat Allah yang Maha Agung. “

Terluah kata-kata suci dari mulut Sultan Murad II di akhir penerangan ringkas itu. “Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu-Akhbar.”

Sultan yang berhati mulia itu terus bercakap dan bertanya tentang banyak perkara kepada kedua-dua Syeikh tarikat itu. Mereka larut dalam wacana ilmu yang mendapat naungan para Malaikat di langit.

Walaupun bertemu pertama kali, Syeikh Bayram dan Syeikh Aaq Syamsuddin menerima pujian, kasih dan penghormatan tinggi dari Sultan Murad II. Sultan Uthmaniah itu menyediakan waqaf, bangunan untuk mengajar tarikat dan ilmu keagamaan. Beliau mengakui akan alamat-alamat kewalian pada Syeikh Bayram.

Akhirnya Sultan Murad II mengajak kedua-dua Syeikh itu, “Tuan-tuan Syeikh yang disayangi Allah, saya memberi tauliah kepada tuan-tuan berdua untuk mengajar dan membaca khutbah di Masjid Muradiye dan Masjid Yeldrim Beyazid. Makmurkan kota ini dengan majlis-majlis ilmu. Sebarang bantuan yang dihajati, sila maklumkan kepada saya. Insya-Allah, saya akan sediakannya.”

@@@@@@@@@

Selain mendengar kuliah agama di masjid, pada lain ketika, Sultan Murad II mengajak sekali lagi kedua-dua ulama itu ke istana. Beliau ada perkara khusus untuk ditanya dan dibincangkan.

Sebelumnya Sultan Murad II mengingati pertama kali beliau berjumpa dengan Syeikh Bayram.

Saat Syeikh itu tiba di istana pada kali pertama, Sultan Murad II melihat wajahnya dan jelas bersinar seperti matahari di langit. Indah dan jelas. Ekspresi wajah, penampilan dan sikapnya semua molek. Keelokan terserlah semasa beliau berdiri, berbicara atau berjalan.

Sultan Murad II melihat refleksi kecantikan dalaman di wajahnya dan beliau mengerti bahawa mereka yang melaporkan sikap Wali Allah ini kepadanya salah. Beliau menunjukkan rasa hormat dan menerimanya sebagai tamu istimewa di istananya. Kemudian beliau sungguh tenang mendengar setiap tutur bicara ulama itu.

Kini tetamu istimewa itu berada di hadapan matanya sekali lagi, bersama muridnya Syeikh Aaq Syamsuddin. Sultan Murad II cukup senang, terpancar sinar gembira di wajahnya.

Sebaik duduk, Sultan Murid II terus kepada persoalan, “Tuan Syeikh yang dimuliakan, adakah hadis Rasulullah (SAW) yang mengatakan kota Konstantinopel akan ditawan oleh Islam di bawah raja yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik itu sahih?”

Syeikh Bayram menjawab "Demi Allah hadis itu sahih, Tuanku."

"Tuan Syeikh yang saya muliakan. Tuan seorang alim yang berada semasa pemerintahan Sultan Urkhan, Sultan Murad sebelum saya dan ayahanda saya Sultan Beyazid. Tuan sudah tahu akan usaha-usaha penaklukan sebelum itu juga. Saya pun pernah di tahun 825 Hirah cuba menawan kota itu. “

Sultan terdiam sebentar sebelum bertanya, “Mengapa saya masih tidak berjaya menakluk Konstantinopel? Adakah saya, tentera dan rakyat saya tidak layak?"

Syeikh Bayram tersenyum, kemudian dia bertafakur. Suasana sunyi dalam balai penghadapan istana itu.

Wali Allah itu memberi taakulannya, “Allah bentangkan dalam perancangan-Nya dengan rumusan bahawa kebenaran pasti menang, tanpa kita perlu ragui. Walaupun demikian, kemenangan harus dimulai dengan perjuangan yang berat, hatta sehingga nyawa melayang demi sebuah syahid yang mulia. Begitu juga dengan kemudahan pasti menjelma, tetapi kita mesti menyeberangi lautan kesulitan terlebih dahulu.

“Untuk diri saya sendiri dan Tuanku yang saya sayangi, harus difahami yang diutamakan dalam hidup ini ialah proses, bukan sekadar hasil. Maka yang lebih bermakna ialah perjuangan meraih keberhasilan, bukan hanya keberhasilan itu sahaja. Allah sudah tetapkan takdir yang keberhasilan itu pasti datang asalkan disertai dengan perjuangan dan bantuan Allah dari tawakal kepada-Nya.

“Tuanku, suka saya membaca ayat al-Quran dalam Surah al-Insyirah, ayat 5 – 6.”

Kemudian Syeikh Bayram membaca maksud terjemahannya, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Sultan Murad II lantas mengucapkan ucapan pohon keampunan, “Astaghfirullah,” berulang kali.

“Lantas apa hemat dan firasat Tuan Syeikh, bila dan siapakah yang dapat menakluk Konstantinopel?”

Syeikh Bayram terdiam. Beliau pejamkan mata, khusyuk meraih ilham Allah dengan kepala tertunduk.

Tidak berapa lama kemudian, Syeikh Bayram mengangkat kepalanya. Beliau memandang wajah Sultan di hadapannya dengan tersenyum manis, lalu berkata, “Allahu-Akhbar! Menurut firasat saya, bukan Tuanku yang dapat menakluk kota itu, tetapi putera Tuanku.”

“Ya Allah! Saya tiada anak lelaki lagi. Bagaimana?” Wajah Sultan Murad II penuh tanda tanya.

“Insya-Allah, Sultan, Tuanku akan dikurniakan seorang putera yang baik, beriman dan gagah.”

“Isteri saya hamil?”

0 comments: