Oct 19, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (14)

Pada 12 September 1396, Tentera Salib dapat melihat benteng Nicopolis yang berada di atas tebing curam batu kapur. Nicopolis yang terletak dalam kedudukan pertahanan semula jadi, adalah kubu kuat utama mengawal Danube dan laluan komunikasi ke kawasan pedalaman. Satu jalan kecil tersedia di antara jurang dan sungai. 

Manakala kubu ini ialah sebuah bandar berdinding dua, yang lebih besar terletak di atas tebing tinggi dan yang kecil di bawahnya. Lebih jauh ke pedalaman dari benteng kubu, tebing bukit miring curam ke dataran. Memang sebuah kubu perlindungan yang kukuh dan banyak bekalan.

Gabenor Nicopolis, Dogan Bey, melihat angkatan Tentera Salib dengan panji-panji salib berwarna hijau, merah, putih dan simbol salib saltire berbentuk pepenjuru. Dia berkata kepada beberapa orang pegawainya, “Saya yakin, dengan izin Allah, yang Sultan Beyazid akan tiba bagi membantu melindungi kota ini. Dalam pada itu kita siap siaga dengan segala kelengkapan perang yang ada.”

Di kem Tentera Salib segala persiapan disegerakan walaupun mereka tidak membawa mesin pengepungan khusus. Justeru itu di lokasi kem perkhemahan, mereka menyediakan banyak tangga bagi memudahkan pendakian ke benteng kubu. Senjata menjanik juga banyak dibawa bagi tujuan menghentam benteng-benteng kubu dengan batu-batu besar.

Seorang ketua platun tentera laut menyatakan pandangannya, “Aku yakin sekatan ini akan menyebabkan penduduk kota kelaparan. Mereka tidak akan dapat keluar melalui jalan darat dan air, justeru makanan dan bekalan senjata tidak dapat masuk tanpa diketahui oleh tentera kita.”

Rakannya mengulas setelah melihat segala persediaan angkatan Tentera Salib. “Aku juga yakin kepungan kubu ini akan berjalan lancar tanpa tentangan hebat dari tentera Islam. Ini hanya permulaan kepada tujuan utama kita, yakni membebaskan Konstantinopel dari kepungan Uthmaniah. Bagaimana pandangan kamu berkenaan bantuan tentera dari Sultan Uthmaniah itu?”

“Aku tidak takut justeru mereka tidak akan begitu cepat tiba ke sini.”

Nicopolis sudah dikepung selama dua minggu tanpa serangan. Kebosanan mula mengitari di segenap kem Tentera Salib. Bagi menghilangkan kebosanan itu, mereka berpesta, minum arak, bermain dan sekali sekala melakukan aksi provokasi menghina kehebatan pertahanan tentera Islam. Oleh kerana sibuk dengan pesta, mereka terlupa satu taktikal penting; pasukan sentri tidak disediakan.

Dalam tempoh ini, tentera di bawah pimpinan Sultan Beyazid I sudah melepasi Adrianopel dan kini meneruskan pergerakan melalui laluan Shipka di tengah Bulgaria menuju utara ke Tirnovo.

Raja Sigismund mengambil langkah bersendirian di ketika banyak kontijen Tentera Salib lain bersuka ria dengan menghantar 500 orang pasukan berkuda meninjau sekitar Tirnovo, 70 batu ke selatan.

Tidak berapa lama kemudian, pasukan peninjau Salib itu kembali. Komander pasukan memberi laporan, “Tuanku! Bala tentera musuh pimpinan Sultan Beyazid sedang berada di Tirnovo.”

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Hazliana said...

Terbaik!!

Zurianita said...

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad mesti best. Tertawan dengan sejarah Istanbul.. :-)